
CFMOTO 750SR-R DIDEDAHKAN – ENJIN 4-SILINDER, 110HP
CFMOTO merupakan antara jenama motosikal dari China yang sudah berjaya menempatkan diri dikalangan jenama lebih terkemuka.
Untuk itu, kami sentiasa berikan tumpuan pada perkembangan semasa melibatkan CFMOTO ekoran jenama itu kerap memperkenalkan model baharu yang dijangka akan mencuri perhatian ramai.
Terbaru, CFMOTO telah pun memfailkan paten terbaru di China (berserta gambar) yang merujuk kepada sebuah motosikal sportsbike terbaru yang dinamakan CFMoto 750SR-R.

Gambar yang disertakan bersama dokumen tersebut memaparkan dengan jelas 750SR-R yang akan mula memasuki peringkat produksi.
Perkembangan terbaru ini mengejutkan ramai pihak apatah CFMOTO baru sahaja melancarkan dua model sportsbike terbaru tahun ini menerusi 675SR-R dan 500SR VOOM.

CFMoto 750SR-R ini dikuasakan platform empat silinder 749cc terbaru. Meskipun maklumat masih samar namun kami difahamkan platform 749cc itu dibangunkan dari enjin 4-silinder 500cc yang diambil dari 500SR VOOM namun dengan bore yang lebih besar (72mm). Memandangkan ukuran bore pada 675SR-R dan 675NK juga 72mm ini bermakna kemungkinan besar 750SR-R ini berkongsi banyak komponen dari 500SR dan 675SR antaranya piston dan injap.

Menariknya, ukuran bore 72mm dan stroke 46mm pada 750SR-R ini juga sama dengan Suzuki GSX-R750- dan Yamaha YZF750R yang diperkenalkan sekitar 1996.
Atas kertas, CFMOTO mendedahkan 750SR-R ini menawarkan 110hp dan seberat 213kg selain mampu mencapai kelajuan maksima (top speed) sekitar 230km/j.

Dokumen itu turut menyenaraikan saiz tayar berukuran 120/70-17 depan dan 180/55/17 belakang dengan masing-masing dipadankan dengan ABS dwi-saluran dari Continental. Sistem Continental MK 100 itu juga merangkummi teknologi bantuan menunggangn seperti traction control dan wheelie control.
Dalam pada itu, gambar yang disertakan juga mendedahkan beberapa perkara antaranya reka bentuk yang mirip 675SR-R namun dengan beberapa perbezaan antaranya kehadiran winglet yang lebih signifikan. Selain itu, juga terdapat ‘brake duct’ seperti yang ada pada 675SR-R.
Selain itu turut menampakkan penggunaan fork jenis terbalik dengan kaliper brek radial Brembo.