TEKSI MOTOSIKAL TIDAK AKAN DIPERKENALKAN DI NEGARA
Kementerian Pengangkutan tidak akan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal, selepas mengambil kira pelbagai aspek, keselamatan dan kebajikan penumpang.
Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong, berkata ini disebabkan kadar yang sangat tinggi bagi nahas jalan raya, termasuk kematian atau kecederaan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada.
“Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenai perkara ini dipertimbang kelak,” katanya.
Beliau menjawab soalan Larry Soon (Bebas-Julau) mengenai rancangan menyeluruh untuk menjadikan perkhidmatan teksi motosikal sebagai pelengkap perkhidmatan awam baharu, pada sesi lisan di Dewan Rakyat.
Henry berkata, keputusan itu dimuktamadkan kerajaan berdasarkan statistik kemalangan jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, pada 2019.
“Penunggang motosikal ialah kumpulan paling tinggi menjadi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian tahun itu.
“Angka ini melebihi 3,900 kes kematian berbanding 6,167 jumlah kematian direkodkan pada 2019. Kerajaan berdasarkan statistik ini menangguhkan keputusan berkenaan,” katanya. – BH