Artikel PilihanBuletin

CITROEN MY AMI BUGGY CONCEPT – MAINAN IDAMAN SEMUA PERINGKAT USIA

Ramai dah kenal Citroen Ami sebagai sebuah kenderaan kegunaan di bandar (walaupun tidak dipasarkan di Malaysia) tapi model konsep My Ami Buggy memang membangkitkan naluri kanak-kanak dalam jiwa kita semua. Kalau tak rasa apa-apa tu memang korang silap laman sesawang ni.

Ia dikatakan sebuah model konsep idaman kanak-kanak dari usia 14 hingga ke 77 tahun. Syukurlah rupa-rupanya majoriti kami di Mekanika ni masih kanak-kanak lagi. Ia memang kelihatan macam kereta kanak-kanak yang lengkap dengan penampilan rugged macam kami jugak la.

Luarannya dilengkapi dengan bull bar, pelindung lampu dan arca roda yang dilebarkan. Malah ia juga mempunyai tayar-tayar yang lebih ‘gemuk’ dan dipadankan dengan rim-rim offset berwarna matte.

Kegilaan elemen off-road tidak terhad setakat itu malah ia juga mempunyai rak bumbung lengkap dengan light bar (trend mengarut terkini siap ‘on’ kat tengah bandar). Malah tayar gantiannya juga diletakkan di atas rak bumbung.

Pintunya dibuang terus dan digantikan dengan rekaan baharu yang juga berfungsi sebagai beg bagasi. Kalau hujan macam mana? Jangan bimbang kerana ia turut disertakan dengan panel kanvas untuk ‘menyelimutkan’ mainan kecil ini.

Keunikan kenderaan comel lasak ini berterusan ke bahagian dalam dengan tempat duduk yang dinamakan tempat duduk “Advanced Comfort”. Ia mempunyai padding yang lebih banyak berbanding tempat duduk Ami biasa. Terdapat juga rak barangan kecil dan tempat letak minuman yang diwarnakan dengan tema matte gold selain beberapa tempat barangan lain.

Spesifikasi lengkap model konsep ini belum dikeluarkan Citroen tetapi Ami biasa mempunyai pek bateri 5.5 kWh yang mampu membekalkan kuasa kepada motor elektrik 8hp yang menggerakkannya. Cas penuh membolehkan kereta kecil ini bergerak sehingga 45 km/j dengan jarak 70 km.

Memang tak laju langsung tetapi boleh dipandu tanpa lesen memandu oleh individu bermula seawal 14 tahun di beberapa negara. Malaysia boleh ke? Sekarang tak boleh sebab kereta ni pun taka da kat Malaysia. Macam mana nak pandu benda tak ada kan?

BACA: CITROEN AMI JENTERA POLIS PALING ‘SIPUT’ DI DUNIA?

Google ads
Back to top button