Artikel Pilihan

JANGAN KHUATIR. INI 10 SEBAB KENAPA LAMPU CEK ENJIN MENYALA.

Sedang anda memandu kereta tiba tiba sahaja enjin anda meragam, rasa bergegar dan hilang kuasa. Paparan meter tiba-tiba sahaja memaparkan satu logo kuning yang paling terkenal di dunia iaitu check engine menyala. Lampu ini sebenarnya akan menyala sekiranya ia mengesan sebarang abnormaliti pada sistem enjin.

Jangan dengar buat hantaran di laman sosial berkenaan masalah ini kerana ia sebenarnya tidak boleh diselesaikan dengan berteka-teki bersama-sama pakar Facebook. Cara paling mudah ialah kesan masalah tersebut dengan alat diagnostik khas yang akan membaca maklumat tersebut dari ECU sistem enjin.

Kami senaraikan beberapa masalah utama yang biasa dijumpai oleh alat ini apabila ia disambung dengan ECU enjin kereta. Antaranya ialah:

1. Kegagalan sensor Oksigen – atau singkatannya O2 sensor yang bertanggungjawab mengesan peratusan kehadiran gas oksigen dan mengarahkan sistem suntikan menghantar jumlah petrol yang betul untuk disuntik dalam enjin. Walaupun sensor ini rosak, enjin tetap akan berfungsi seperti biasa.

Tapi ia akan menggunakan bahan api yang lebih banyak dan lama kelamaan akan merosakkan komponen lain seperti palam pencucuh cataltyc converter.

2. Penutup tangki bahan api longgar – atau tidak ditutup dengan kemas atau sudah jem. Kegagalan ini akan menyebabkan sistem bahan api tidak berada pada tekanan yang betul dengan wap petrol akan keluar dan mencemarkan alam sekitar. Sekiranya penutup tangki bahan api anda sudah longgar atau loose, gantikan saja dengan penutup yang baru

3. Kegagalan penukar pemangkin – atau disebut juga sebagai Catalytic Converter yang bertanggungjawab menukar gas atau asap ekzos dari unsur yang berbahaya kepada unsur kurang bahaya. Contohnya dari karbon monoksida kepada karbon dioksida. Namun semakin berusia sebuah kereta, sistem ini akan kurang efisyen dan sesetengah negara mewajibkan ia ditukar baru

4. Palam pencucuh- atau spark plug juga ada jangka hayat tersendiri bergantung pada jenis logam yang digunakan. Palam pencucuh mahal menggunakan logam yang lebih keras dan tahan sehingga 100,000km. Tapi ada juga palam pencucuh ini rosak sebelum waktunya.

5. Ignition Coil – gegelung pencucuh yang menghantar elektrik kepada palam pencucuh untuk menghasilkan percikan elektrik. Sekiranya komponen ini bermasalah, ia gagal menghasilkan voltan elektrik yang cukup bagi enjin membakar campuran udara dan petrol.

6. Sambungan bermasalah – sambungan wayar dari ignition coil ke palam pencucu yang bermasalah seperti haus, rosak dan terkopek juga boleh menyebabkan lampu cek enjin menyala kerana arus elektrik gagal sampai kepada palam pencucuh mengikut spesifikasi.

7. Mass Air Flow Sensor – yang bertindak menilai banyak mana udara masuk ke dalam enjin dan merupakan sebahagian daripada sistem pengurusan enjin. Jika sensor ini rosak ia akan menyebabkan lampu menyala, enjin melahu yang kurang sempurna, susah dihidupkan dan enjin mati ketika dipandu

8. Kebocoran sistem vakum – enjin sebenarnya beroperasi dalam keadaan separa vakum dengan semua tekanan udara berada dalam parameter yang ditetapkan. Sebarang kerosakan pada komponen enjin yang menyebabkan tekanan ini berubah boleh menyebabkan lampu menyala

9. Kegagalan sistem EGR -jika sistem EGR tersumbat, ia juga boleh menyebabkan lampu enjin menyala. Seperti yang anda sedia maklum, sistem EGR akan mengitar semula gas ekzos dalam enjin bagi mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida dan mengurangkan penggunaan petrol

10. Bateri – ya bateri yang hampir tamat jangka hayatnya juga boleh menyebabkan sistem enjin menjadi kacau bilau dan menyebabkan lampu enjin menyala. Kos menukar bateri yang tidak perlukan air tidaklah mahal sangat sekarang.

Ini adalah antara beberapa sebab mengapa lampu enjin anda menyala dan enjin tidak berfungsi dengan sempurna. Tapi cara yang paling tepat ialah memeriksa enjin anda dengan alat diagnostik.

Google ads
Back to top button