,
Motosikal

PENANGGUHAN MOTOGP BERI KELEBIHAN KEPADA APRILIA, HONDA DAN MARQUEZ – DUCATI

Pengurus pasukan Ducati, Gigi Dall’Igna mendakwa penangguhan perlumbaan MotoGP akibat penularan wabak COVID-19 memberi kelebihan kepada pasukan Honda dan pelumba handalannya, Marc Marquez.

Pandemik COVID-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut dalam masa terdekat membuatkan perlumbaan pembukaan musim 2020 di Qatar ditangguhkan. Saingan di Thailand, Austin dan Argentina turut berdepan nasib sama.

Jika keadaan bertambah baik, perlumbaan akan dimulakan di Jerez pada awal Mei depan. Namun, ia tetap bergantung pada keadaan di Eropah.

Penangguhan ini nyata memberi masa yang cukup untuk Marquez pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu. Sedia maklum bahawa pelumba itu mengalami kesukaran untuk berada dalam prestasi terbaik ketika sesi ujian di Qatar bulan lepas.  

Dia juga dilihat sukar untuk membiasakan diri dengan jentera baharu Honda di litar Losail, Qatar.

“Selain Marquez, pembatalan perlumbaan memberi nafas lega kepada beberapa pengeluar yang mempunyai masalah dari segi prestasi dan ketahanan. Mereka ada masa untuk membuat penambahbaikan.

“Ya, saya merujuk kepada Honda dan Aprilia yang sudahpun memperbaiki jentera masing-masing, tetapi berdepan isu ketahanan,” kata Dall’Igna ketika ditemuramah oleh Sky Italia.

Namun, perkembangan itu tidak memihak kepada Ducati yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam dua edisi terakhir perlumbaan MotoGP.

Dall’Igna yakin dua orang pelumbanya, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci mampu mencatat keputusan yang baik.  

Tags
Google ads
Back to top button