Motosikal

MICHELIN BIMBANG TAK CUKUP TAYAR UNTUK SESI UJIAN PRA-MUSIM MOTOGP DI LITAR LOSAIL

Pembekal rasmi tayar untuk perlumbaan MotoGP, Michelin kini dilapor tertekan kerana bekalan tayar bagi sesi ujian pra-musim di Litar Losail, Qatar mungkin tidak mencukupi.

Semua pasukan MotoGP dikatakan meminta semua pelumba rasmi masing-masing supaya mengambil bahagian dalam sesi berkenaan yang dijangka berlangsung pada 5 hingga 7 Mac depan.

Ujian komprehensif perlu dilakukan berikutan pembatalan sesi ujian pra-musim yang sepatutnya dijalankan di Litar Sepang pada Februari.

Tarikh sesi ujian di Litar Losail telah ditetapkan selepas mesyuarat di antara pihak Dorna, IRTA, FIM dan pasukan MotoGP.

Mereka turut berbincang sama ada perlu menambah tempoh ujian melibatkan pelumba rookie dan rasmi setiap pasukan. Ini bagi menggantikan masa yang hilang akibat pembatalan sesi di Litar Sepang.

Sudah pasti, pasukan yang disertai oleh pelumba baharu seperti Valentino Rossi dalam Yamaha SRT, Quartararo dengan Monster Yamaha, Pol Espargaro (Repsol Honda), Petrucci (Tech3) dan ramai lagi mahu sesi ujian ditambah.

Cadangan supaya sesi ujian dilanjutkan daripada tiga ke empat atau lima hari berakhir apabila Michelin menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai bekalan tayar yang cukup untuk semua pasukan.

Untuk mengurangkan kos, tayar dibawa ke lokasi perlumbaan mengunakan kapal kontena tiga bulan sebelum acara bermula. Sebarang penghantaran baru akan menambah kos sedia ada.

Michelin kini sedang berunding untuk memastikan sama ada mereka mampu membekalkan tayar seperti yang diminta. Buat masa sekarang, ujian untuk hari keempat masih belum dapat diputuskan. – GPOne

Google ads
Back to top button