PADA 2012 AYLA DAN AGYA DIUMUMKAN, KERJASAMA DAIHATSU DAN TOYOTA
Sebelum ini kami pernah paparkan mengenai Toyota Agya yang dilancarkan di Indonesia pada September 2013. Setahun kemudian giliran Perodua Axia pula dilancarkan di pasaran tempatan.
Sejarah kereta kompak itu bermula apabila Daihatsu Motor Co., Ltd. (Daihatsu) dan Toyota Motor Corporation (Toyota) mengumumkan kerjasama perniagaan di Indonesia pada 19 September 2012.
Kedua-dua syarikat akan memasarkan kereta kompak dengan jenama tersendiri di Indonesia. Nama yang dipilih ialah Daihatsu Ayla dan Toyota Agya.
Kedua-dua model itu dibangunkan sempena polisi Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia yang memberikan kelebihan cukai kepada kereta mesra alam dan pemasangan tempatan.
Toyota tanpa berselindung memaklumkan Daihatsu akan membekalkan Agya.
Jika diundur masa, Ayla, Agya dan Axia boleh dianggap sebagai pengganti Perodua Kancil yang diperkenalkan pada tahun 1994 dan Daihatsu Ceria pada tahun 2001.
Untuk projek Ayla-Agya, perancangan dan pembangunan kenderaan dibuat oleh Daihatsu manakala pengeluaran di kilang baharu P.T. Astra Daihatsu Motor di Suryacipta, Indonesia.
Syarikat itu adalah subsidiari Daihatsu di Indonesia.
Kedua-dua model dipertontonkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa Indonesia pada 20 hingga 30 September 2012.
Satu lagi fakta penting apabila pengumuman ini dibuat ialah kedua-dua model dibangun berdasarkan kepakaran diperolehi dari Daihatsu Mira e:S yang melambangkan kemampuan Daihatsu dalam menghasilkan kereta cekap bahan api, mampu milik dan bersaiz kompak.
Ayla dan Agya dibangun mengikut keperluan pengguna Indonesia, dengan penglibatan Astra Daihatsu Motor.
Kedua-dua model dibangunkan untuk Indonesia, daripada Indonesia dan sangat berpadanan dengan Indonesia pada harga mampu milik dan cekap bahan api.
Melalui pengenalan kedua-dua model, Daihatsu dan Toyota mensasarkan untuk mewujudkan pasaran baharu untuk kenderaan keluarga dengan kapasiti enjin 1,000cc.
Ayla dan Agya disasarkan kepada pelanggan aras mula di Indonesia yang didominasi oleh model MPV kecil seperti Toyota Avanza.
Jika pereka Perodua bertanggungjawab dengan rekabentuk Axia, hasil tangan pereka Indonesia pula boleh dilihat pada gayaan Ayla dan Agya.
Kedua-dua Alya dan Agya dilancarkan pada 9 September 2013 dan pada 7 April 2017, model dipertingkatkan (facelift) diperkenalkan kepada umum.
- BACA: PADA 2013 TOYOTA AGYA DIPERKENAL, ‘ABANG’ AXIA
- BACA: SI PEMBURU EMAS – VIVA DENGAN ENJIN YRV TURBO
- BACA: TOYOTA LABUR RM1.6B DALAM SYKT. eVTOL JOBY (TERBANG MENEGAK)
Kredit foto: Toyota