Pandu Uji

PERODUA BEZZA 1.0G, SEDAN KOMPAK UNTUK RAKYAT MARHAEN

Perodua ni antara syarikat automotif yang pandai meneka kehendak rakyat dengan menghasilkan pelbagai varian kereta yang sesuai. Jadi tak hairanlah Perodua berjaya menjual kereta mereka dengan pelbagai varian. Axia disolek menjadi mini crossover, Myvi dipanjangkan sedikit menjadi Alza dan cesi Axia juga dipanjangkan untuk menjadi sedan.

Perodua bukan menghasilkan kereta dengan pengendalian ibarat kereta lumba, tapi kereta yang dihasilkan oleh Perodua menepati citrasa pemandu tempatan, mesra poket bila ke pusat servis, tidak suka singgah lepak-lepak di stesen minyak dan mereka antara pengeluar tempatan yang paling awal memperkenalkan sistem brek pra-perlanggaran.

Sesi pandu uji kali ini melibatkan sebuah Perodua Bezza 1.0G transmisi automatik milik ahli keluarga penulis yang berharga RM 35,391 (tanpa insuran) sahaja. Dari segi harga ia hanya berbeza RM 2,906 dari Perodua Axia 1.0G. Jadi penulis senaraikan di sini mengapa anda patut Perodua Bezza 1.0G ini antara kereta pilihan utama anda samaada sebagai kereta utama atau kereta kedua.

1. Mampu milik – Bezza 1.0G automatik bersaing secara tidak langsung Proton Saga 1.3 Standard AT yang dijual pada harga RM 35,800. Bagi Bezza 1.0G varian manual harganya tidak jauh beza dengan Proton Saga 1.3 Manual. Dengan bayaran bulanan sekitar RM 300 lebih sahaja sebulan, ia sememangnya mampu milik untuk rakyat Malaysia

2. Cukai jalan murah – disebabkan saiz enjin hanya 998cc sahaja, maka cukai jalan Bezza hanyalah RM 20 sahaja setahun. Sekiranya anda berminat dengan model Bezza 1.3X, maka cukai jalan akan menjadi RM 70 setahun.

3. Kos Servis tak pening kepala – bak kata Abam Japar, Perodua ini adalah jenama yang jarang-jarang ada masalah yang remeh temeh. Malah kos servis untuk Bezza ini amat murah. Sebagai contoh, minyak pelincir untuk enjin perlu ditukar dalam sela masa 6 bulan sekali atau setiap 10,000km dengan menggunakan minyak sintetik penuh 0W-20 sebanyak 3 liter. Harganya sekitar RM 127.20 sahaja.

4. Luas – walaupun murah, tapi Perodua Bezza ini tersangatlah luas. Ruang kargo belakang adalah sebesar 508 liter berbanding dengan Proton Saga yang memiliki ruang sebesar 420 liter. Ruang kaki dan bahu adalah mencukupi untuk 4 penumpang dewasa. Mungkin ruang tengah barisan penumpang hanya sesuai untuk kanak-kanak sahaja.

5. Enjin cekap tenaga – Perodua mengiklankan penggunaan petrol sekitar 21.27km per liter. Ujian sebenar penulis dengan kelajuan malar sekitar 100-110km/j mencatatkan keputusan sekitar 20km per liter petrol. Bagi pemanduan harian, Perodua Bezza 1.0G mencatatkan penggunaan petrol sekitar 17.2km per liter

6. Kuasa enjin cukup – ramai yang skeptikal sebenarnya, kuat ke enjin 3 silinder ini. Pada hemat penulis 67 kuasa kuda dan 91Nm tork sudah memadai untuk membawa 4 orang dewasa dengan halaju malar 90-110km/j dari poin A ke poin B. Enjin ini datang dengan teknologi VVT-i, DOHC 12 injap. Kalau nak memotong, pilihan D3 dan D2 ada disediakan. Jangan malu segan nak guna

7. Tak kedekut – walaupu Bezza 1.0G merupakan varian paling rendah, tapi Perodua masih memberikan beberapa kelengkapan yang sama seperti varian yang mahal seperti lampu depan dengan teknologi LED dan reflektor, lampu belakang dengan teknologi LED, sensor undur belakang, lampu signal pada cermin sisi, dan roda aloi berjejari 14 inci dengan rekaan sama seperti Myvi.

Di bahagian sisi pula Bezza 1.0G turut menerima kemasan skirting yang memberikan imej yang lebih kemas, cermin sisi dengan butang kuasa automatik satu sentuhan (sekali tekan terus turun), tayar simpanan bersaiz penuh, kemasan krom pada pemegang pintu, poket simpanan pada bahagian belakang kusyen depan, lampu depan yang boleh padam dengan automatik dan bonet belakang boleh dibuka dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Sistem audio walaupu nampak kelihatan sangat biasa tapi ia disertakan dengan sambungan Bluetooth, sambungan USB serta fungsi asas radio. Bunyi yang dihasilkan adalah biasa-biasa sahaja, cukup untuk menghilangkan rasa mengantuk untuk perjalanan jarak jauh.

Namun bagi Bezza 1.0G beberapa ciri lain telah tidak dibuat atas tujuan penjimatan kos seperti ia tidak dipasang dengan lampu kabus depan, hanya 2 pembesar suara untuk sistem audio, tiada pengecas untuk telefon pintar pada bahagian konsol tengah, ketinggian kusyen pemandu tidak boleh laras serta perehat kepala di bahagian belakang dibuat secara bonggol.

8. Aspek keselamatan – Bezza 1.0G diserta dengan beberapa ciri asas keselamatan seperti penderia undur belakang, sistem amaran tali keledar, 2 poin ISOFIX pada bahagian belakang, 2 beg udara pada bahagian depan, dan sistem brek ABS dengan EBD. Sistem ESC hanya dikhaskan pada varian 1.3 sahaja. Begitu juga dengan Proton Saga, hanya varian 1.3 premium sahaja yang dipadankan dengan ESC

Jika Bezza 1.0G boleh dipasang dengan ESC sama seperti Axia 1.0G Extra, maka Bezza akan ada kelebihan berbanding dengan Proton Saga Standard.

9. Pengalaman pemanduan – terus terang saya katakan tekanan angin yang ditetapkan oleh Perodua agak tinggi bagi sebuah sedan kompak dengan seberat 880kg, maka cara terbaik ialah dengan mengurangkan tekanan angin depan menjadi 200kpa dan belakang 190kpa. Mungkin dengan cara ini penjimatan petrol akan terjejas sedikit disebabkan rolling resistance telah meningkat.

Tapi dari segi kelebihan, ia melembutkan sedikit tayar memberikan keselesaan pada pemanduan. Jadi buat pemilik Bezza, cuba bereksperimen dengan tekanan angin tayar. Pada hemat penulis, cengkaman pada hari hujan akan menjadi lebih baik. Tayar “perak batu” yang dibekalkan juga bukanlah boleh memberi prestasi cemerlang dari segi kadar bunyi yang senyap.

Jadi jika anda perlukan tayar lain, cuba tukar ke jenama lain. Disebabkan Bezza 1.0G menggunakan enjin 3 silinder, ia akan bergegar sedikit ketika mula dihidupkan dan ia boleh dirasa di bahagian stering. Tapi tidaklah terlalu teruk seperti anda terkena penyakit Parkinson. Jika anda memandu di waktu malam, besar kemungkinan anda akan diberi amaran oleh kereta depan disebabkan lampu LED sedikit mendongak ke atas.

Tapi tiada apa yang anda boleh buat kerana tiada suis untuk mengubah sudut lampu. Jika anda ke pusat servis kali pertama pada 1000km, minta juruteknik ubah sedikit sudut lampu. Membawa penumpang seramai 4 orang dengan barangan pun tak menjadi masalah pada enjin kecuali jika anda berniat untuk berlumba di jalan raya.

Pada halaju 80km/j, bacaan RPM ialah sekitar 2300 manakala pada 100km/j bacaan RPM menjadi 3000. Pada halaju 110km/j bacaan RPM meningkat kepada 3200. Sama seperti Myvi SE 2009 milik penulis satu ketika dulu. Disebabkan stering tidak boleh diubah ketinggian dan kusyen pemandu pun tak boleh diubah (macam Iswara lama) maka agak susah untuk mencari kedudukan yang paling selesa ketika memandu.

Saga atau Bezza?

Sebenarnya kedua dua kereta pun ok, cuba cek gaji dan poket anda sebelum buat keputusan. Pandu uji sepuas-puas hati sebelum tandatangan perjanjian jual beli. Kalau boleh masa pandu uji, letak ubat tido dan bagi jurujual minum. Pandulah kedua dua kereta ke Kokdiang atau Mentakab untuk pandu uji.

Berdosakah beli Bezza 1.0G?

Bila anda beli varian paling murah, pasti akan ada komen “kenapa tak beli model dot dot dot”? Ingat ye tuan-tuan, beli Ferrari pun nanti akan ada yang kata kita nak menunjuk. Sedangkan yang bayar bulan, bayar servis, insuran dan cukai jalan semua duit kita. Bukan duit dia. Silap-silap pergi minum teh pun kita kena payung

Pendek kata kalau anda perlukan sebuah sedan kompak, yang luas, yang ada semua peralatan asas, dan boleh membawa anak bini dengan selamat dari satu tempat ke tempat lain dengan kos yang sangat minima, cuba pertimbangkan Bezza 1.0 auto atau manual ini. Mana tahu Bezza 1.0G ini sesuai dengan anda.

Google ads
Back to top button