Buletin

PELANCARAN FORD BRONCO SUV DIANJAK AGAR TIDAK SAMA DENGAN TARIKH LAHIR OJ SIMPSON

Sejak Ford mengumumkan teaser pelancaran SUV terbaharu Ford Bronco, ia mendapat perhatian netizen kerana sama dengan tarikh kelahiran O.J. Simpson.

Ia bukan sahaja mencetuskan kebimbangan kepada khalayak terutama penggemar jenama Ford, malah pengumuman tersebut dijadikan bahan lawak di media sosial.

Ford dalam ciapan Twitter memaklumkan pengenalan Ford Bronco yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan akan dianjakkan pada 13 Julai.

“Kami peka dan menghormati pandangan yang diutarakan oleh orang ramai berhubung tarikh berkenaan. Ia memang satu kebetulan,” tulis ciapan tersebut.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui apa kaitan OJ Simpson dan Ford.

Pada tahun 1994, Simpson telah didakwa membunuh isterinya, Nicole Brown Simpson dan Ronald Goldman. Dia terlibat dalam insiden kejar-mengejar dan menjadi penumpang dalam sebuah Bronco berwarna putih keluaran tahun 1993 yang dipandu kawannya selepas enggan menyerah diri.

Babak kejar-mengejar tersebut telah disiarkan dalam rangkaian televisyen tempatan. Insiden itu membuatkan Bronco putih berkenaan sebagai satu pergerakan budaya pop. Simpson turut dibebaskan daripada tuduhan membunuh yang dikenakan ke atasnya. – techcrunch

Google ads
Back to top button