BuletinMotosikal

CUBPRIX 2017: RAMDAN GANTI TEMPAT KASMA DANIEL DI TELUK INTAN MINGGU INI

Mohd Ramdan Mohd Rosli kembali ke litar Cub Prix apabila disenaraikan untuk menggantikan tempat Kasma Daniel Kasmayudin yang tidak dapat beraksi pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, hujung minggu ini.

Kasma yang juga pendahulu keseluruhan kelas CP150 bakal menyertai pusingan kedua Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia di Litar Le Mans, Perancis yang berlangsung pada tarikh sama menyebabkan prinsipal pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Yong Ying Hoe memilih Ramdan yang kini tidak lagi beraksi di dalam saingan Moto2 di Sepanyol bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Kami menawarkan tempat kepada Ramdan kerana merasakan dia pelumba yang sesuai. Namun dia sudah lama tidak berlumba menggunakan jentera underbone, sebab itu kami tidak meletak sebarang sasaran kepadanya minggu ini.”

Menjelaskan sama ada pelumba berusia 21 tahun itu akan terus kekal bersama pasukan, Yong Yin Hoe menjelaskan, “Setakat ini, kami hanya memilih Ramdan untuk menggantikan Kasma. Kita lihat bagaimana prestasi Ramdan terlebih dahulu pada minggu ini. Jika dia menunjukkan prestasi yang baik, kemungkinan kami akan menyediakan tempat untuk beraksi dalam CP150.”

Nama Ramdan bukanlah asing di dalam industri sukan permotoran negara. Ramdan mempunyai rekod cemerlang di dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS apabila muncul juara termuda CP115 pada tahun 2010 dan berada di dalam Program Pembangunan Bakat PETRONAS untuk beraksi di dalam kelas Moto3 dan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) dan aksi wildcard di MotoGP dari tahun 2014 hingga 2016.

 

Google ads
Back to top button