BuletinMotosikal

MODENAS LANCAR 3 MODEL BARU-V15, NS200 DAN RS200, HARGA BERMULA RM5,989 (+ 42 FOTO)

Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS) hari ini secar rasmi melancarkan tiga buah model motosikal hasil kerjasama dengan Bajaj Auto yang ditunggu ramai. Syarikat motosikal negara itu juga berharap dapat meningkatkan penguasaan pasaran sebanyak 22 peratus bagi segmen motosikal jalanan dan cruiser sport selepas setahun produk terbaharunya itu dilancarkan. 

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Dato’ Abdul Harith Abdullah, kerjasama yang dijalinkan dengan Bajaj Auto Ltd (BAL) merupakan satu fasa semula jadi bagi MODENAS sebagai salah satu pengeluar motosikal terbesar di rantau ini, memandangkan syarikat berkenaan terkenal dengan barisan produknya yang berbeza dan disokong oleh pasukan R&D yang berinovasi serta kawalan mutu produk yang ketat.

BACA: SUPERMOPED MODENAS 150?? INI CERITANYA

BACA: TUNGGANG UJI MODENAS MR2

“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama terbaharu dengan Bajaj Auto Ltd (BAL) ini kerana ia memberi peluang kepada kami untuk menembusi ke dalam satu segmen baru yang sedang pesat berkembang dan terus bertambah kukuh pada masa akan datang. Kami amat yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi faktor pendorong yang diperlukan oleh MODENAS untuk mencapai cita-citanya”, tambah Abdul Harith.

MODENAS yakin ia mampu mengulangi kejayaan yang dikecapi oleh model terkenal PULSAR NS200 (naked street bike), PULSAR RS200 (sport bike) dan PULSAR V15 (café racer) di sini memandangkan model berkenaan telah terbukti diterima di seluruh dunia, menjadi peneraju dalam segmen masing-masing di 74 negara merentasi rantau Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Selatan.

Keyakinan ini turut disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap motosikal jalanan bawah 250cc, yang menguasai lima peratus pegangan dalam pasaran tempatan sejak tiga tahun lepas. MODENAS ketika ini menguasai pegangan pasaran yang stabil sebanyak lapan peratus dalam segmen MOPED dan skuter tempatan.

Kerjasama ini akan dimulakan secara berperingkat-peringkat termasuk pengedaran produk dan pembangunan hub pemasangan khusus di kilang MODENAS di Gurun, Kedah. Hasil daripada kerjasama ini bakal menyaksikan pelancaran beberapa lagi model terbaharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan ia dijangka akan mendefinasikan semula segmen motosikal jalanan di Malaysia.

“Rakyat Malaysia hari ini boleh memilih tiga model baharu daripada MODENAS, berserta dengan tiga motosikal yang telah kami lancarkan enam bulan lalu”, kata Abdul Harith.

PULSAR RS200 RM 11,342 (termasiuk GST)

Kedua-dua model Pulsar NS200 dan RS200 dijana oleh enjin 199cc, SOHC, 4 lejang, penyejukan cecair, penyuntik bahan api silinder tunggal dan digital triple spark ignition. Kedua-dua model didatangkan dengan transmisi 6 kelajuan, yang memberi masing-masing kuasa maksimum 23.5 PS dan 24.5 PS @ 9500 RPM serta Tork pada 18.6 NM dan 18.3 NM @ 8000 RPM.

PULSAR NS200 telah direka agar tampak lebih sasa serta agresif dan didatangkan dalam skema warna serta grafik dua tona. Manakala PULSAR RS200 pula bersifat lebih aerodinamik dan dibentuk agar lebih stabil pada kelajuan tinggi.

PULSAR NS200 RM9,222.00 (termasuk GST)

Ia bakal menjadi motosikal bersaiz penuh pertama di Malaysia yang mempunyai sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran-tunggal yang memastikan keselamatan dan kestabilan walaupun pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, model V15 pula didatangkan dengan enjin 150cc digital twin-spark yang menggabungkan elemen terbaik gaya neo klasikal, keselesaan serta kuasa dan tork yang tepat bagi menghasilkan pengalaman menunggang yang sempurna. Kuasa Maksimumnya ialah  12 PS @ 7500 rpm ,Tork: 13 Nm @ 5500 rpm.

Model V15 RM5,989 (termasuk GST)

Harga jualan bagi ketiga-tiga model (termasuk GST) ini ialah;

PULSAR RS200 – RM 11,342.00

PULSAR NS200 – RM 9,222.00

V15 – RM 5,989.00

Peminat motosikal jalanan dijemput untuk melihat dan merasai sendiri prestasi istimewa motosikal berkenaan di DRB-HICOM Autofest 2017 yang akan diadakan pada 19 hingga 21 Mei di Kompleks EON di Glenmarie Shah Alam.

GALERI V15

GALERI NS200

GALERI RS200

 

Google ads
Back to top button