Buletin

DAH BALIK KAMPUNG, DUDUK DIAM-DIAM SEHINGGA 31 MAC. POLIS AKAN SURUH ANDA PATAH BALIK

Kerajaan mengarahkan semua yang balik kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula diumumkan seminggu lalu supaya terus berada di mana mereka berada.

Gesaan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau menegaskan bahawa mereka yang berada di kampung tidak dibenarkan balik ke bandar atau bergerak ke negeri atau daerah lain.

Lagipun, anak-anak tidak perlu ke sekolah. Manakala ibubapa yang bekerja di sektor awam atau swasta tidak bekerja sehingga 31 Mac.

“Teruskan tinggal di kampung, jangan pulang ke KL. Begitu juga yang dah balik kampung tapi kita tak benarkan, tinggal di rumah masing-masing di kampung,” katanya.

Tindakan pulang ke kampung itu menyebabkan sebahagian besar bandar kini lengang. Namun, mereka yang berada di kampung dilihat mulai kembali ke Kuala Lumpur. Ini menyebabkan lebuh raya utama mengalami kesesakan teruk.  

Ismail Sabri memberitahu polis mengadakan sekatan jalan di 23 lebuh raya di seluruh negara untuk menghalang rakyat daripada pulang ke bandar.

“Mereka yang mahu pulang ke bandar akan diminta oleh polis supaya patah balik ke kampung. Jadi, kami minta mereka yang merancang untuk balik ke bandar untuk batalkan rancangan tersebut,” katanya lagi.  

Terdahulu, pihak polis mengadakan 2,481 pemeriksaan di pelbagai lokasi di seluruh negara. Polis juga akan mengubah operasi daripada memberi nasihat kepada mengenakan hukuman undang-undang ke atas sesiapa yang gagal mematuhi arahan polis.

Berdasarkan kepada statistik, sebanyak 690 laporan polis telah dibuat, 46 kertas siasatan dibuka dan 28 individu ditahan setaat ini.

Ismail Sabri turut menyatakan kadar pematuhan PKP kini sudah mencecah 95 peratus. Ini adalah hasil kerjasama polis, tentera, Rela dan pihak berkuasa tempatan.

Google ads
Back to top button