Buletin

DENYU BOSTANDZHIEV DILANTIK SEBAGAI PENGARAH URUSAN PHSAM DAN VPCM BERMULA 1 JULAI 2023

Porsche Holding Salzburg (PHS) Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Denyu Bostandzhiev selaku Pengarah Urusan Bersama PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), bermula 1 Julai 2023.

Denyu akan mengetuai aspek jualan, selepas jualan dan pembangunan rangkaian, pemasaran serta IT untuk kedua-dua buah syarikat. 

Seterusnya berkongsi kepakaran beliau dari segi strategi perniagaan dan operasi, pembangunan produk dan penjenamaan bagi meningkatkan dan mengukuhkan lagi perniagaan Audi serta Volkswagen di Malaysia.

Beliau akan memegang posisi itu bersama Kurt Leitner yang akan terus menerajui operasi HR dan kewangan.

Selaku Pengarah Urusan yang baru, Denyu memiliki pengalaman selama 20 tahun dalam industri automotif dan kejuruteraan di tiga benua berbeza. Sejak tahun 2004, Denyu telah memegang banyak jawatan di tiga buah benua, dengan yang terbaharu sebagai Pengarah Urusan Porsche Ukraine LLC. 

Di sana, beliau ditugaskan untuk menstruktur semula semua jabatan jenama dan memperkenalkan program Pengurusan Proses Perniagaan dalam usaha menghasilkan satu strategi jenama jangka masa panjang yang terbaik.

Denyu bukanlah asing di Malaysia kerana beliau pernah berada di sini pada tahun 2016 selama dua tahun setengah dan menjadi watak penting dalam memulakan operasi pemasangan model Volkswagen Arteon, Tiguan Allspace dan Golf GTI – satu pencapaian bersejarah untuk pasaran tempatan kerana GTI sebelum ini hanya dipasang di Jerman dan China.

“Saya rasa sangat teruja untuk kembali ke Malaysia serta menawarkan pengalaman premium kepada para pelanggan Audi dan Volkswagen. Saya percaya bahawa nilai utama kedua-dua jenama ini iaitu digitalisasi, reka bentuk dan kelestarian jelas terbukti dalam rangkaian produk yang progresif, premium dan mampu milik, sekali gus akan terus menarik minat pasaran tempatan,” kata Denyu.

Denyu akan menggantikan Erik Winter yang merupakan individu penting dalam memperkenalkan semula jenama Audi di Malaysia sejak Julai tahun lalu. Untuk jenama Volkswagen, Erik berjaya meningkatkan keyakinan pelanggan menerusi aspek selepas jualan, mengukuhkan rangkaian pengedar dan mengembangkan penawaran produk dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Porsche Holdings Salzburg di Chile.

PHS berperanan menguruskan PHSAM dan VPCM yang merupakan pengedar rasmi kenderaan Audi dan Volkswagen di Malaysia. Menjadi sebuah syarikat milik penuh Volkswagen Group, PHS ialah peruncit automotif paling besar dan berjaya di Eropah dengan kehadiran di 29 buah negara di Amerika Selatan, Eropah Timur dan Asia.

Google ads
Back to top button