
DIDI RESOURCES DILANTIK SEBAGAI PENGEDAR RASMI MOTOSIKAL APRILIA – BAWA MASUK RS150 PLEASE…
Piaggio Group hari ini mengumumkan pelantikan Didi Resources Sdn. Bhd. (Didi Resources) selaku pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia.
Pengedaran motosikal Aprilia sebelum ini diuruskan oleh pihak Naza Premira sejak tahun 2013.
“Pelantikan Didi Resource adalah sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk menyatukan jenama Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu entiti. Ini bagi memaksimumkan kecekapan dari semua sudut perniagaan dan mengukuhkan komitmen kami di Malaysia.
“Dengan Aprilia dan Moto Guzzi kini di bawah satu bumbung, kami boleh menawarkan rangkaian motosikal yang lebih luas kepada pelanggan. Seterusnya membawa dua jenama ini ke peringkat lebih tinggi,” kata Pengerusi dan Pengarah Besar Piaggio Vietnam yang juga Naib Presiden Eksekutif 2 Roda Asia Pasifik, Gianluca Fiume.
Gasket Alley di Petaling Jaya akan menempatkan satu bilik pameran khas untuk Aprilia dan Moto Guzzi. Di samping bengkel selepas jualan dan servis yang akan dikendalikan pasukan pakar yang dilatih sepenuhnya oleh Aprilia.
Jadi, pelanggan Aprilia sedia ada tidak perlu bimbang dari segi selepas jualan.
Pelantikan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2018.