Buletin

DISKAUN MENARIK PAS MYCITY. PUSING-PUSING KL TANPA HAD 1 DAN 3 HARI

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan diskaun tambahan Pas MyCity dengan pas perjalanan tanpa had 1 hari dan 3 hari bagi semua perkhidmatan rel serta BRT Rapid KL.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad, Muhammad Nizam Alias berkata, diskaun berkenaan merupakan salah satu usaha dalam merancakkan semula aktiviti ekonomi di sekitar Lembah Klang.

“Pengenalan diskaun tambahan Pas MyCity diharap dapat membantu menjana semula sektor pelancongan domestik yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sejak Mac  lalu.

“Rangkaian rel dan BRT Rapid KL bersepadu kami yang strategik akan memberi pengguna peluang menikmati perjalanan tanpa had secara meluas di sekitar Lembah Klang dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah , Pas MyCity boleh didapati pada harga RM5 untuk 1 hari dan RM15 untuk 3 hari.

Bagaimanapun, Muhammad Nizam berkata, diskaun tambahan ini tidak termasuk harga kad Touch ‘N Go bernilai RM5, serta RM5 nilai dompet minimum yang perlu ada di dalam kad Touch ‘N Go.

Pengguna bolehi dinikmati diskaun ini bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 dan boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

Maklumat lanjut mengenai Pas MyCity boleh didapati daripada kakitangan Rapid KL di mana-mana stesen rel atau BRT. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

Google ads
Back to top button