" "
Motosikal

ALAMI KEMALANGAN KERANA BAS LANGGAR LAMPU MERAH, PRASARANA MAHU GANTI MOTOSIKAL PENUNGGANG GRABFOOD

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyampaikan permohonan maaf kepada seorang penghantar pesanan makanan GrabFood yang terlibat dalam kemalangan dengan bas GoKL.

Syarikat itu juga akan mendermakan sebuah motosikal baharu bagi membantu penunggang tersebut. Kejadian malang itu dilapor berlaku pada 24 Mac lalu, sekitar pukul 2 petang di persimpangan Jalan Raja Chulan.

Justeru, penunggang motosikal terbabit diminta menghubungi Ketua Unit Komunikasi Rapid Bus, Hazimin Sulaiman melalui whatsapp di talian: 016-6760297.

Dalam satu kenyataan, Prasarana menegaskan bahawa kapten bas tersebut telah dikenalpasti dan diambil tindakan tatatertib, sementara menanti hasil keputusan siasatan polis.

“Semua Kapten Bas yang berkhidmat untuk Rapid Bus melalui program latihan yang komprehensif. Kapten Bas juga menjalani program latihan semula bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik, selamat serta mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.

“Prasarana akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan,” jelasnya.

Berikutan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu 25 Mac 2020.

sumber: Bernama, MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button