Buletin

UMW TOYOTA UBAH STATUS DUA CAWANGAN DI LEMBAH KLANG DAN CHERAS JADI PENGEDAR

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan dua daripada cawangannya di Lembah Klang telah diubah status menjadi pengedar dalam meningkatkan lagi kecekapan operasi bermula 1 Julai 2020.

Ini merupakan susulan kepada pengumuman syarikat pada awal Oktober 2017 dan November 2018 berkenaan peralihan majoriti operasi cawangan runcit syarikat kepada pengedar dan pihak berkepentingan lainnya.

Pengedar dari Lembah Klang, Laser Motor PJ Sdn Bhd akan mengambil alih cawangan Seksyen 19, Petaling Jaya. Sementara Fokus Sentral Sdn Bhd akan mengambil alih cawangan di Cheras.

Peralihan ini membolehkan UMWT memberi perhatian serta meningkatkan tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti lain yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar. Manakala pengedar pula terus memberikan layanan terbaik dan memastikan kepuasan pelanggan sentiasa dipenuhi.

“Adalah sangat penting bagi UMWT untuk terus memenuhi jangkaan serta tahap kepuasan yang tinggi pelanggan,” ujar Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

“Saya sangat teruja untuk bekerja dengan lebih erat bersama pengedar-pengedar kami untuk berkongsi visi UMWT, dengan konsep yang menjanjikan “Best In Town”, yang turut bermaksud untuk memberikan perhatian lebih tertumpu kepada pelanggan.

“Walaupun penyusunan semula ini menandakan perubahan besar buat UMWT, pelanggan tidak perlu risau kerana tahap perkhidmatan sedia ada tidak akan berubah, sebaliknya akan menjadi lebih baik pada masa hadapan,” tambah beliau.

Pelanggan yang memerlukan maklumat berkaitan rangkaian jualan dan lepas jualan Toyota boleh melayari laman toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1800-8-TOYOTA (1800-8-869682).

Tags
Google ads
Back to top button