Buletin

DONGFENG LANCAR JENAMA OFFROAD ELEKTRIK MENGSHI, DEDAH DUA MODEL KONSEP 1000 HP!

Dongfeng baru-baru ini melancarkan jenama baharu kenderaan off-road yang menggunakan nama Mengshi (atau terjemahannya Warrior dalam bahasa Inggeris).

Serentak dengan itu, mereka turut memperlihatkan dua buah model konsep berkuasa elektrik yang agak agresif, iaitu M-Terrain dan M-Terrain S.

Untuk kenderaan elektrik serba ganas ini, Dongfeng menampilkan beberapa penggunaan senibina off-road M Tech yang merangkumi ciri seperti:
platform papan selaju MORA: mampu menyokong EV dan REEV, teknologi steer-by-wire, radius putaran 5.1 meter sahaja, sistem stereng gandar belakang
sistem off-road M ATS: menampilkan sembilan mod pemanduan, mampu melaraskan sistem suspensi udara sehingga 105 mm, kawalan casis serta tiga diff kekunci kawalan elektronik
-trenkuasa Mega Power: empat motor elektrik, kuasa melebihi 1,000 hp, pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat

Tiada sebarang penerangan spesifikasi terperinci bagi kedua-dua kenderaan disebutkan itu tadi, melainkan bentuk badan yang berbeza di mana M-Terrain membawakan bentuk badan SUV manakala M-Terrain S pula sebenarnya adalah sebuah trak pikap.

Ia membawakan reka bentuk yang serba tajam dan agresif, dengan unit lampu yang kecil, diikuti dengan lampu nyalaan siang berbentuk palang serta mengelilingi rekaan gril depan.

Sementara bahagian sisi pula menampilkan rekaan arka roda bersegi, pemegang pintu tertanam, roda off-road dan kehadiran tangga untuk model SUV.

Reka bentuk M-Terrain S memang mengelirukan, memandangkan sekilas pandang ia membawakan reka bentuk seakan sebuah SUV coupe, dengan rekaan dua pintu, namun ditambah dengan dua lagi tempat duduk di bahagian belakang.

Menurut laporan Car News China, kenderaan di dalam siri Mengshi ini mungkin sekali akan ditawarkan dalam dua versi, iaitu EV dan versi penambah jarak (REEV).

Versi EV membawakan kuasa setinggi 1,070 hp dengan pek bateri 140 kWh yang membenarkan jarak sejauh 500 km dan pecutan 0-100 km/j di bawah lima saat, sementara versi REEV pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 816 hp, serta pek bateri 65.88 kWh dengan jarak gerak gandingan sejauh 800 km. – Car News China

Google ads
Back to top button