DONGFENG NANO BOX – KERETA ELEKTRIK BAJET BERHARGA RM43K, JARAK GERAK 331 KM
Pasaran China yang sudah tersedia tepu dengan bermacam jenama automotif itu kini menerima sebuah pendatang baharu di dalam segmen kenderaan elektrik bajet – Dongfeng Nano Box.
Ia merupakan salah satu model yang menggunakan asas daripada model SUV Perancis Renault Kwid/City K-ZE, di mana antara model lain termasuklah Aeolus EX1, Fengxing T1, Fengguang E1 dan juga Venucia e30.
Disebabkan itu, Dongfeng Nano Box ini banyak berkongsi panel badan dengan model penderma, kecuali rekaan bampar baharu, serta penambahan unit lampu yang diposisikan pada bahagian bawah.
Dari segi dimensi, Nano Box berukuran 3,723 mm, lebar 1,579 mm, tinggi 1,515 mm dengan jarak antara roda sekitar 2,423 mm sahaja.
Namun begitu, pihak jurutera Dongfeng telah berjaya mendatangkan rekaan tersendiri pada bahagian ruang kabin, menampilkan skrin kluster digital tujuh inci, skrin infotainmen 10 inci, serta unit kawalan iklim yang telah direka semula.
Dongfeng Nano Box turut dilengkapi dengan ciri kawalan suara, fungsi kawalan jarak jauh, sokongan sambungan peranti pintar, serta ciri keselamatan termasuklah ABS, EBD, dan penderia parkir belakang.
Menggerakkan EV yang kecil ini adalah motor elektrik tunggal memacu roda hadapan yang mampu menjana kuasa 44 hp dan 125 Nm, sementara pek bateri 27.2 kWh pula membolehkan EV ini dipandu sejauh 331 km mengikut protokol CLTC.
Menurut Dongfeng, bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh 30 minit menggunakan pengecasan pantas.
Harga jualan Dongfeng Nano Box ini bermula dari 65,700 yuan hingga 71,700 yuan (RM43,385-RM47,347) dengan tempoh menunggu adalah sekitar 2 bulan.
Ini kerana dalam tempoh 24 jam yang pertama, pihak Dongfeng telah berjaya menerima tempahan melebihi 10,000 unit!