
DUCATI 2024: HASIL €1 BILION, LEBIH 54 RIBU UNIT MOTOSIKAL!
Ducati berjaya mencatatkan hasil (revenue) melebihi €1 bilion (RM4.85 bilion) pada 2024 dan mengekalkannya selama tiga tahun berturut-turut.
Pada 2023 Ducati merekodkan hasil sebanyak €1.065 bilion dan menurun kepada €1.003 bilion (RM4.87 bilion) pada tahun 2024.
Walaupun penghantaran motosikal menyusut enam peratus, syarikat menunjukkan ketahanan kewangan dengan margin keuntungan 9.1 peratus dan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran motosikal premium.
1. 54,495 Motosikal di Tengah-Tengah Cabaran Pasaran
Sepanjang 2024 Ducati mencatatkan 54,495 penghantaran motosikal berbanding 58,224 unit pada tahun 2023 atau penurunan enam peratus.
Ketidaktentuan ekonomi global, tekanan persaingan serta isu pengeluaran dan logistik dalam separuh pertama 2024 memberi kesan kepada penghantaran di beberapa pasaran luar negara.
2. Hasil dan Keuntungan Kekal Kukuh
Ducati berjaya mencapai hasil sebanyak €1.003 bilion, sedikit menurun daripada €1.065 bilion pada tahun 2023.
Keuntungan operasi (EBIT) pula mencatatkan €91 juta (RM441.9 juta), bersamaan dengan 9.1 peratus pulangan jualan (2023: 10.5%).
3. Itali Kekal Sebagai Pasaran Utama Ducati, AS Ke-2
Dari segi jumlah jualan, Itali mengekalkan kedudukan sebagai pasaran terbesar dengan 9,589 unit dihantar (+1%). Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 6,993 unit (-14%) diikuti Jerman sebanyak 6,575 unit (-4%).
Di Eropah, Sepanyol menunjukkan pertumbuhan tertinggi sebanyak +10%, manakala dalam pasaran membangun, Amerika Selatan meningkat sebanyak 8.4 peratus, dan India berkembang sebanyak enam peratus.
China (-26%) dan Australia (-25%) terus mengalami penurunan seperti tahun sebelumnya.
4. Multistrada Kekal Model Terlaris Ducati
Keluarga Multistrada kekal sebagai model Ducati paling laris dengan 13,069 unit dihantar di seluruh dunia, termasuk 10,114 unit dengan enjin V4.
Model Ducati lain yang mencatatkan jualan tertinggi termasuk:
-
Panigale – 8,456 unit
-
Monster – 6,344 unit
5. Edisi Khas dan Model Koleksi
Ducati terus menarik perhatian pengumpul dan peminat motosikal dengan edisi khas terhad, termasuk:
-
Panigale Racing Replica (meraikan kejayaan Ducati dalam perlumbaan 2023)
-
Diavel for Bentley
-
Panigale V4 SP2 30° Anniversario 916
-
Panigale V2 Superquadro Final Edition
-
Monster Senna
-
Streetfighter V4 Supreme®
6. Ducati Memenangi Pelbagai Anugerah Reka Bentuk
Diavel V4 menjadi sorotan dalam reka bentuk tahun 2024, menerima pelbagai anugerah berprestij, antaranya:
-
Red Dot Award 2024: Best of the Best
-
Good Design® Award
-
Sebutan Khas di German Design Awards 2024
7. Ducati Menguasai Dunia Perlumbaan pada 2024
Ducati menikmati tahun yang luar biasa dalam sukan permotoran, dengan pencapaian berikut:
-
Juara Dunia MotoGP untuk tahun ketiga berturut-turut (keempat dalam sejarah)
-
19 kemenangan daripada 20 perlumbaan, termasuk 14 podium penuh dan enam Grand Prix dengan Ducati mendominasi kedudukan lima teratas
-
Gelaran Pengeluar Dunia dalam Superbike
-
Gelaran Pelumba dalam Supersport
-
Kemenangan sulung Ducati Desmo450 MX dalam Kejohanan Motocross Prestige MX1 Itali
8. Ducati Perkenalkan 10 Model Baharu untuk 2025
Ducati melancarkan sepuluh model baharu dan salah satu pembaharuan produk terbesar dalam sejarah syarikat.
-
Panigale V4 (generasi ke-7) – Diperkenalkan semasa World Ducati Week 2024, model ini mengintegrasikan teknologi perlumbaan paling maju daripada pengalaman Ducati dalam MotoGP dan Superbike.
-
Panigale V4 Tricolore – Edisi koleksi terhad (1,000 unit) yang dilancarkan di Art Basel Miami Beach, melambangkan gabungan tradisi dan inovasi Ducati.
-
Enjin V2 Baharu – Enjin berkembar paling ringan yang pernah dihasilkan oleh Ducati, digunakan dalam Panigale V2, Multistrada V2, dan Streetfighter V2, dengan pengurangan berat sebanyak 17 kg, 18 kg dan 18 kg berbanding model terdahulu.
-
Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition – Edisi khas terhad 500 unit, hasil kerjasama dengan Rizoma, meraikan ulang tahun ke-10 Ducati Scrambler.
-
Desmo450 MX – Motosikal Motocross Pertama Ducati – Akan mula dijual di pengedar terpilih pada Jun 2025.
9. Peluasan Rangkaian Global
Dengan lebih 800 pengedar di lebih 90 negara, Ducati terus memperluaskan jangkauan global dan memperkukuhkan hubungan dengan komuniti peminat Ducati.
Rangkaian pengedar yang luas memainkan peranan penting dalam pengalaman pelanggan, promosi jenama dan pengedaran produk di peringkat global.











