EHANG TERBANG TINGGI DI THAILAND: PENERBANGAN AWAM PERTAMA EVTOL TANPA JURUTERBANG
Syarikat pengeluar kenderaan udara elektrik (EAV) dari China, EHang Holdings, telah mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan penerbangan awam pertama untuk teksi terbang tanpa juruterbang di Thailand.
Bertempat di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit di Bangkok, penerbangan ini mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) dan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan teknologi mobiliti udara bandar (UAM) di Asia Tenggara.
EHang menggunakan model EH216-S, sebuah kenderaan lepas landas dan mendarat secara menegak (eVTOL) elektrik, yang mampu membawa dua penumpang tanpa perlu dikawal oleh juruterbang manusia.
Penerbangan ujian ini turut membawa Ketua Pegawai Eksekutif Sky Image Tech, Phasu Manipanti, dan Pegawai Pertama Operasi Penerbangan dari Bangkok Airways Sorasit Thongjeen sebagai penumpang.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan EHang, Monor Yang, “Penerbangan awam pertama ini adalah satu pencapaian penting dalam pembangunan antarabangsa EHang.”
“Kami berhasrat membawa penyelesaian eVTOL ke pasaran Asia Tenggara dengan kerjasama CAAT dan rakan tempatan kami untuk memperkenalkan model operasi UAM di Thailand.”
Selain itu, EHang juga merancang untuk mengembangkan operasi komersialnya ke destinasi pelancongan popular seperti Phuket dan Koh Samui menjelang tahun 2025.
Teknologi teksi terbang ini dijangka mampu memendekkan masa perjalanan antara pulau-pulau di Thailand, yang kebiasaannya mengambil masa lama dengan kaedah pengangkutan air tradisional.
Bagi menyokong pengembangan teknologi ini, EHang bekerjasama dengan beberapa institusi di China dan luar negara untuk melatih kakitangan operator dan penyelenggaraan kenderaan udara besar.
Di peringkat global, EHang telah menjalankan lebih 50,000 penerbangan ujian di 17 negara, termasuk Brazil, Arab Saudi, dan Abu Dhabi.
Penerbangan awam EHang di Thailand mencerminkan satu langkah besar dalam merealisasikan visi UAM yang selamat dan mampan.
Dengan sokongan pihak berkuasa Thailand dan kerjasama strategik, EHang komited untuk mengubah landskap pengangkutan bandar di Asia Tenggara dan di seluruh dunia.