CHERY AUTO MALAYSIA LANCAR PENGELUARAN TEMPATAN OMODA E5
Chery Auto Malaysia telah mencapai satu lagi kejayaan penting dengan pengeluaran unit pertama kenderaan elektrik (EV) OMODA E5 di bawah operasi pemasangan tempatan (CKD) di Kilang Inokom.
Langkah ini mencerminkan komitmen Chery untuk mengukuhkan keupayaan pembuatan tempatan serta menyokong pertumbuhan industri automotif di Malaysia.
Pengeluaran OMODA E5 ini turut menjadi bukti usaha Chery dalam menyokong peralihan negara ke arah masa depan automotif yang lebih lestari melalui kenderaan elektrik.
Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen menyatakan, “Pengeluaran unit CKD pertama OMODA E5 ini adalah bukti dedikasi kami terhadap inovasi, kualiti, dan komitmen kami kepada pasaran Malaysia.”
“Dengan pemasangan tempatan, kami bukan sahaja dapat menawarkan harga yang lebih kompetitif tetapi juga menandakan komitmen jangka panjang Chery di Malaysia,” katanya.
Leo Chen turut menjelaskan bahawa inisiatif pemasangan tempatan ini selaras dengan dasar pematuhan penyetempatan kerajaan, yang secara langsung menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi kenderaan elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Dato’ Jeffri Salim Davidson turut mengulas tentang kejayaan ini sebagai satu pencapaian besar dalam kerjasama antara Sime Darby dan Chery.
“Keupayaan kami meliputi seluruh rantaian nilai automotif, dan perkhidmatan pemasangan adalah kawasan pertumbuhan penting yang menjadi pemacu utama bagi bahagian pemotoran kami,” tambah beliau.
Majlis pelancaran ini juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Liew Chin Tong.
Beliau memuji Chery kerana 99 peratus tenaga kerja pemasangan di Kilang Inokom adalah rakyat Malaysia, menunjukkan komitmen terhadap peningkatan peluang pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan.
Beliau turut mengulas bahawa setakat 30 September 2024, terdapat 32,543 kenderaan elektrik bateri (BEV) yang telah didaftarkan di Malaysia, namun 98 peratus daripadanya diimport sebagai unit Completely Built-Up (CBU).
“Dengan pengeluaran CKD ini, Chery menyertai beberapa jenama lain yang memasang EV di Malaysia, menandakan satu langkah besar ke arah memperkukuhkan industri automotif tempatan.”
Tambah YB Liew lagi, “Penyetempatan sebanyak mungkin dalam pembuatan kenderaan penting untuk imbangan pembayaran negara. Pada tahun 2023, sektor automotif merekodkan nilai import sebanyak RM62.14 bilion, manakala nilai eksport hanya RM18.01 bilion.”