Motosikal

EICHER MOTORS SEMAKIN HAMPIR MEMILIKI DUCATI DENGAN TAWARAN $1.8-2.0 BILLION

Selepas berjaya memiliki Royal Enfield dan menaikkan kembali nama motosikal Bullet dan membuat keuntungan di serata dunia, Eicher Motors yang diterajui oleh hartawan India, Siddhartha Lal kini semakin aktif dalam usaha untuk membeli jenama superbike Itali tersohor, Ducati. Malah mereka dikatakan membuat tawaran belian sekitar $1.8 hingga 2.0 billion bagi membuktikan kesungguhan mereka.

Jika berjaya, langkah ini akan melebarkan portfolio mereka, mencapai sasaran global baru selain akses kepada teknologi yang dimiliki Ducati. Eicher dikatakan satu-satunya syarikat dari Asia yang masih kekal berminat untuk memiliki Ducati yang bakal dilepaskan oleh Volkswagen Group (VW). Ducati berada di bawah sayap naungan Audi dalam kumpulan VW dikatakan bakal dijual bagi membantu menyelesaikan masalah yang timbul akibat skandal disel baru-baru ini.

Rancangan untuk melepaskan Ducati sebelum ini telah menarik minat banyak pihak antaranya ialah Harley-Davidson, Suzuki, Bajaj Group dan Hero MotoCorp Ltd. Itu belum termasuk entiti swasta lain seperti KKR dan CVC Capital Partners.

BACA: JANJI GEELY-PROTON, TIADA PEMBERHENTIAN PEKERJA, MEREKA MUNGKIN PERLU TAMBAH KAPASITI TENAGA

Proses penjualan Ducati bagaimanapun mendapat tentangan daripada persatuan buruh VW yang menyatakan ia sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Pemimpin pekerja yang menguasai separuh daripada dua puluh kerusi persatuan pekerja mahu pihak atasan VW agar membatalkan cadangan menjual Ducati kepada lima syarikat yang berminat tanpa mengira berapa jumlah yang ditawarkan.

Bagaimanapun keputusan akhir yang akan menentukan nasib syarikat pengeluar motosikal berusia 91 tahun dari daerah Borgo Panigale, utara Itali hanya akan diketahui selepas mesyuarat tertinggi VW yang akan diadakan pada 29 September ini.

Pemerhati menyatakan yang penangguhan ini hanya bersifat sementara dan Eicher masih sedang membuat persediaan untuk bidaan seterusnya. Mereka memang layak dalam pusingan awal dan akan bersaing dengan lebih agresif.

Sebenarnya bukan hanya Eicher, Ducati yang pernah menguasai WSBK sebanyak 14 kali juga berada dalam radar kumpulan lain seperti Bain, PAE Partners dan keluarga Benetton, yang pernah memiliki Ducati sebelum menjualnya kepada Audi pada tahun 2012 kerana kegawatan ekonomi.

Jenama Ducati cukup bermakna buat Eicher jika mereka ingin menembusi pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan Australia. Mereka telah berjaya membuka ruang-ruang pameran eksklusif dari Sao Paolo ke Barcelona dan London. Pemilikan Ducati dijangka membuka pasaran baru yang lebih luas buat mereka.

Ia juga bakal memberikan akses teknologi kepada Royal Enfields yang menghasilkan motosikal segmen 350-500 cc. Kepakaran Ducati dalam menghasilkan superbike dengan kapasiti 800-1200 cc memang merupakan bonus buat mereka. Malah Ducati merupakan jenama premium yang mampu memberi suntikan untuk menaikkan lagi imej Royal Enfield di mata dunia.

Nantikan sahaja apa keputusan yang bakal dicapai hujung bulan ini  dan jika berjaya, jenama Ducati juga akan menjadi milik Asia.

Google ads
Back to top button