ENJIN B58B30, ENJIN TERBAIK BMW SETAKAT HARI INI? TOYOTA PUN PAKAI
Sehingga hari ini, BMW masih menghasilkan enjin 6 silinder sebaris yang digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan yang digunakan oleh mereka. Malah Toyota iaitu antara pengeluar kereta terbesar dunia juga terpaksa meminta bantuan BMW bagi menghasilkan enjin ini yang digunakan pada model Supra mereka. Bukan tak mampu, tapi tak ekonomik untuk hasilkan enjin yang digunakan pada jumlah yang terlalu kecil
Enjin B58 secara asasnya merupakan enjin 3000cc 6 silinder sebaris dengan teknologi turbo, digunakan untuk model Z4/ Supra, M240i, SUV X5 sehinggalah model mewah BMW 745e plug in hybrid. Ini bermakna enjin ini direka cukup meluas untuk digunakan pada model kereta sport, SUV sehinggalah model paling mewah BMW ada.
Ini termasuklah model M340i, X3 M40i, M340i, 540i, X5 XDrive40i, X7 xDrive40i serta digunakan pada barisan model plug in hybrid seperti X5 xDrive45e dan 745e. Semuanya dikuasakan oleh enjin B58 yang sama, namun apabila anda memandu model prestasi tinggi, kuasa yang dihamburkan oleh enjin ini sangat mencukupi seolah-olah ia adalah enjin dedikasi khas bagi talaan sport
Bagi model plug in hybrid, ia berfungsi dengan sangat lancar seolah-olah ia adalah enjin yang direka khas untuk kegunaan hybrid. Bagi varian dan spesifikasi M Performance, enjin ini menghasilkan 382 kuasa kuda dan 500Nm tork. Tapi bila dipandu di atas jalan, enjin ini dirasakan memiliki lebih 100 kuasa kuda daripada spesifikasi yang dinyatakan
Masakan tidak ia mampu membuat pecutan tangkas bagi sebuah SUV yang berat. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kemampuan enjin ini ialah ia mampu menjana tork pada mana-mana RPM tanpa sebarang masalah turbolag. Tekan saja pedal maka letusan kuasa enjin ini seolah-olah tiada limitasi dengan hantaran kuasa yang lancar
Sebagai permulaan enjin ini ditawarkan dalam varian B58B30M0 (322hp, 335hp, 355hp), varian B58B30M1 (335hp atau 328hp), B58B30C (335hp untuk Supra), dan B58B30O1 (382hp untuk Supra pasaran luar EU dan kebanyakan model BMW)
Jika anda rasa 382 kuasa kuda tidak cukup, BMW telah memperkenalkan varian S58B30T0 yang merupakan enjin talaan sport yang berasaskan enjin B58. Enjin ini boleh didapati dalam 2 varian iaitu 473 kuasa kuda dan 503 kuasa kuda yang dipasang pada model M3 dan juga M4.
Buat masa ini enjin B58 ini digandingkan dengan transmisi 8 kelajuan automatik yang dihasilkan oleh ZF. Ia merupakan unit transmisi yang sangat lancar, mudah dioperasikan dan boleh ditala mengikut aplikasi BMW. Mungkin dari segi prestasi enjin ini akan kalah kepada enjin Porsche 4.0 NA Boxer tapi ia merupakan enjin yang lebih mahal khas untuk kegunaan kereta sport
Tapi bagi enjin B58 ini ia membuktikan kemampuan BMW bagi menghasilkan sebuah enjin yang boleh digunakan pada mana-mana kenderaan. Malah jika dipandu dengan berhemah ketika menguji Toyota GR Supra tahun lepas, ia masih memberikan bacaan sekitar 10km per liter petrol (RON 97) dengan halaju antara 140-180km/jam