Pandu Uji

TOYOTA SUPRA, LEGASI 90AN KEMBALI MEWARNAI HIDUP

Kalau kita imbas kembali, banyak benda hebat yang kita buat dalam hidup sebenarnya ialah satu usaha untuk membuktikan yang kita lebih hebat. Persaingan dalam hidup mendorong kita menjadi lebih baik, lebih bagus dan lebih berjaya. Inilah motto sebenar Toyota apabila ia menghasilkan Toyota Supra pada tahun 1978

Ia perlukan sebuah kereta untuk bersaing dengan Nissan Datsun-Z. Hasilnya 4 generasi Toyota Supra dilahirkan dari tahun 1978 sehingga 1993 sehinggakan ia digelar pembunuh supercar oleh majalah permotoran antarabangsa. Ia mampu memecut lebih pantas dari Aston Martin DB7, lebih pantas dari Porsche 911 Turbo, membrek lebih pantas dan harganya hanya suku dari model Ferrari.

Di tangan tuner sejati, enjin asalnya yang menghasilkan 325 kuasa kuda ditala menjadi sehingga 700 kuasa kuda. Resepinya sama sahaja dari generasi pertama sehingga terkini Supra A90. Ia mestilah sebuah kereta sport pacuan belakang, enjin 6 silinder di depan dan rekaan 2 pintu coupe. Boleh ke model Supra A90 terbaru menggalas tugas legasi nama Supra?

1. Rekaan luar – rekaan Supra berasal dari satu konsep rekaan yang diberi nama FT-1 concept yang direka oleh Nobuo Nakamura di studio rekaan Toyota Calty, California. Nakamura mengambil inspirasi Toyota GT2000 dengan bumbung 2 lekuk dan Toyota Supra A80 sebagai asas rekaan.

Bahagian depan diberi gaya agresif dari jentera perlumbaan F1. Bahagian sisi pula tampil dengan rekaan otot muskular terutama pada rear wheel arch. Bahagian belakang pula menampilkan spoiler ducktail yang ringkas, sepasang ekzos yang menghamburkan bunyi yang enjin yang padat. Dari jauh ia bagaikan anda melakar sebuah kereta sport impian sewaktu anda muda remaja, dan Toyota menghasilkan kereta tersebut untuk anda.

2. Rekaan Lubang Angin – jika diperhatikan anda akan menemui banyak lubang angin yang disediakan bermula dari sisi lampu depan, jeriji depan, penutup enjin, bahagian sisi pintu dan bahagian sisi belakang. Hanya bahagian pintu saja penulis rasakan ia dihasilkan untuk hiasan.

Jika anda bukan kaki modified kereta, lubang angin ini mungkin nampak merosakkan imej Supra. Namun bagi kaki tuner, lubang angin ini boleh dibuka untuk tujuan penyejukan jika anda memasang radiator lebih besar, rotor brek lebih besar, dan unit penyejuk rear differential yang besar. Kalau dibuka sekarang, ia akan menggangu aerodinamik Supra.

3. Platform – Supra direka dengan menggunakan Cluster Architecture milik BMW dan berkongsi platform yang sama dengan Z4, kedudukan pemandu, lokasi enjin, transmisi dan suspensi. Lain-lain aspek dibangunkan oleh Toyota secara sendirian. Sistem stering, sistem elektronik rear differential dan spring adalah talaan Toyota dan tak sama dengan Z4

Ratio antara jarak antara roda dan lebar kedudukan tayar berada pada nisbah 1.55:1, sangat seimbang bagi kestabilan dan kelincahan cesi. Berat keseluruhan kereta diagihkan secara 50:50 antara roda depan dan belakang. Ia dicapai dengan meletakkan enjin di belakang gandar tayar depan. Secara teknikal Supra boleh digelar Front Mid Engine, Rear Wheel Drive

Walaupun menggunakan cesi aluminium sepenuhnya, tapi kebanyakan bahagian diperkukuhkan dengan perekat. Toyota mendakwa cesi Supra memiliki ketegaran yang lebih tinggi berbanding Lexus LFA yang menggunakan gentian karbon.

4. Enjin – Supra dibekalkan dengan enjin B58B30O1 dengan sesaran 3000cc 6 silinder sebaris, sama seperti enjin 1JZ. Dengan bantuan turbo skrol berkembar ia menghasilkan 335 kuasa kuda pada 5000 RPM dan 500Nm tork seawal 1600 RPM. Namun berdasarkan video yang dihasilkan oleh rakan media Autobuzz membuktikan enjin ini menghasilkan 364 kuasa kuda. 335 kuasa kuda yang dinyatakan oleh Toyota merupakan kuasa yang sampai pada tayar.

5. Transmisi – Supra dipadankan dengan transmisi ZF 8HP, dan ia merupakan transmisi pilihan banyak pengeluar di dunia. Berdasarkan spesifikasi Supra menggunakan spesifikasi 8HP 51, menunjukkan ia mampu menahan tork maksima sehingga 510Nm tork. 8HP pula bermaksud 8 kelajuan Hydraulic Planetary.

Jika difaktorkan kuasa asal enjin ialah 364 kuasa kuda dan kuasa yang sampai ke tayar ialah 335 kuasa kuda, maka kecekapan sistem transmisi ini ialah 92%. Sangat tinggi bagi unit automatik hidraulik.

6. Kokpit – bayangkan penulis dengan ketinggian 165cm dan 68kg terasa sendat apabila memasuki ruang pemandu. Ruang merupakan komoditi yang terhad dan berharga di dalam Supra. Kusyen bucket yang digunakan akan memeluk tubuh anda dengan kemas, walaupun anda memandu dengan ganas.

Dalam masa sejam anda mula menghafal semua butang yang disediakan dengan mudah. Ruang kargo belakang adalah sekitar 290 liter, cukup untuk anda membawa barang ketika perjalanan jauh untuk 2 orang.

7. Pengalaman Pemanduan – sebaik sahaja memulakan perjalanan, penulis memang amat berhati-hati ketika memandu. 500Nm tork adalah kawan jika anda panda menggunakannya, dan ia mungkin menjadi sangat liar jika anda memandu semborono lebih-lebih lagi semua kuasa dihantar ke tayar belakang. Input steering adalah sangat cepat dan jika anda mencilok lori pada halaju tinggi, tindakbalas tayar belakang sangat cepat.

Tork yang dijana oleh enjin B58 ini sangat ganas tapi dijinakkan dengan sistem ESC yang disediakan. Kalau anda berani, matikan saja ESC dan anda merasakan pemanduan ibarat menunggang kuda liar tanpa tali. Tayar mulai berkokok laju dan serentak itu juga badan anda mulai berpeluh. Tapi lepaskan saja pedal minyak dan Supra akan menjadi jinak semula.

Penukaran gear yang dibuat oleh unit ZF 8HP terasa amat pantas, dan 0-100 dibuat dalam masa kurang 5 saat. Jika anda perlukan engine braking, gunakan saja paddle shift di belakang stering terutama ketika melalui selekoh menuruni bukit seperti di Genting Highland. Kalau ikutkan nafsu, sekejap saja meter sudah mencecah 200km/j dan halaju maksima ditetapkan secara elektronik pada 250km/j

Sistem brek 4 piston di depan dan 1 piston pada angkup brek belakang memastikan anda membrek dengan pantas. Beradasarkan anggaran penulis 100km/j – 30km/j adalah kurang 2 saat. Pecutan yang dibuat oleh Supra mampu membuat anda tersandar ke belakang dan mengucap panjang. Setelah beberapa kali memecut barulah anda dapat membiasakan diri dengan pecutan rakus Supra

Supra dibekalkan dengan Michelin Pilot Super Sport dengan saiz berbeza antara depan dan belakang. Depan menggunakan 255/35 ZR19 dan belakang menggunakan 275/35 ZR19. Unit media yang kami dapat sudah pun tinggal lebih kurang 50% bunga dan mungkin menjadi sedikit keras. Pada halaju 190km/h ia tidak berupaya menyerap permukaan jalan tidak rata dan menyebabkan pitching pada bahagian belakang.

Secara amnya suspensi McPherson dan MultiLink yang digunakan oleh Supra ditala untuk prestasi pemanduan agresif. Jika anda memandu di jalan biasa, Normal mode sudah mencukupi. Jika anda menguji Supra di litar atau keadaan jalan yang kosong Sport mode akan menghasilkan respon enjin, transmisi, penyerap hentak dan stering dengan lebih agresif.

Bunyi ekzos juga berbeza antara Normal mode dengan Sport mode. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, gabungan bunyi 6 silinder sebaris menghasilkan bunyi not ekzos yang dalam dan padat. Dalam Sport mode ia menghasilkan yang meletup-letup jika anda menekan pedal rapat ke lantai atau menurunkan gear. Pada hemat penulis, ia merupakan sebahagian dari sistem anti-lag turbo.

Paparan LCD untuk meter pelbagai maklumat dipadatkan seringkas mungkin selain ia menggunakan unit Head Up Dispaly. Tapi ia didominasi dengan meter RPM yang besar. Halaju semasa, kedudukan gear, malah ia turut mencadangkan anda menaikkan atau menurunkan gear sekiranya perlu dengan menggunakan paddle shifter.

8. Grand Tour – jika anda perlu memandu untuk jarak jauh, Supra mampu melaksanakan tugas tersebut. Sistem audio lengkap dengan 12 pembesar suara JBL HiFi, sistem navigasi terbina dalam dengan paparan navigasi dipaparkan pada meter dan unit Head Up Display, penyaman udara 2 zon dan satu sambungan USB. Sistem Toyota Supra Command pula memastikan anda boleh mengawal sistem dengan mudah sewaktu memandu

9. Toyota Supra Safety- ia mirip Toyota Safety Sense dengan sistem adaptive autocruise, sistem brek automatik dengan amaran, Lane Departure Alert, Adaptive High beam yang boleh merendahkan lampu atau menggunakan lampu tinggi secara individu antara lampu kiri dan kanan, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan belakang, 7 beg keselamatan udara, dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Jangan terkejut kerana Supra juga dilengkapi dengan sistem ISOFIX untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian penumpang. Kamera undur belakang pula akan memastikan anda tidak terkehel tengkuk sewaktu mengundurkan kereta. Terdapat 12 sensor parkir yang dipasang di sekeliling kereta dengan sistem pemantauan live.

10. Penggunaan Petrol – ya mungkin anda tergelak kerana penulis turut menilai penggunaan petrol. Walaupun dilengkapi turbo pada enjin 3000cc 6 silinder, ia mampu menawarkan penggunaan petrol sekitar 10.5 km bagi setiap liter petrol. Padahal penulis memandu pada halaju antara 130km-180km. Terbaik juga teknologi pemasaan injap (VVT) dan teknologi pembukaan injap (VVL) enjin Supra

Hidupkan semula legasi Supra

Bayangkan kalau Toyota bercadang untuk membangunkan kereta ini secara sendirian. Mereka boleh mengambil cesi Camry atau cesi GT86, besarkan saja platform dan bangunkan sistem enjin dan unit transmisi yang baru. Tapi cara tersebut tidak menghasilkan sebuah kereta sport yang sejati kerana cesi asalnya tidak direka untuk prestasi.

Malah kaedah tersebut akan menyebabkan kos pembangunan menjadi mahal dan kos menyediakan barisan pemasangan menjadi semakin tinggi (termasuk tooling, mesin, ujian dan sebagainya). Masalah terbesar ialah mencari pasaran dengan ramai pembeli. Kereta sport 2 pintu memang sangat kecil pasarannya. Jadi bila kos pembangunan tersebut akan balik modal?

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini ialah samaada kita dapat melihat Toyota GR Supra muncul bersama dengan BMW Z4 ATAU kita langsung tidak akan melihatnya semula. Ia akan menghidupkan semula tradisi modifikasi ektrim yang satu ketika dulu mewarnai hidup kita dengan proses penukaran enjin, naiktaraf kuasa sehingga 1000hp, pemasangan GT wing dan pelbagai aksesori.

Supra ini ibarat kereta sport yang pernah dilukis oleh kita sewaktu kecil, dan Toyota menjelmakan kereta tersebut secara fizikal. Hanya duit sebanyak RM 568,000 yang memisahkan Supra dan kita. Atau mungkin kita perlu tunggu untuk Toyota membawa masuk versi 2000cc yang lebih murah dalam barisan jualan model GR.

Google ads
Back to top button