Buletin

ENJIN MATI, TETAPI PROTON EXORA BOLD CFE TERBAKAR DEPAN RUMAH

Pemilik Proton Exora Bold CFE (2013), Izan Jan berkongsi pengalaman apabila kenderaannya terbakar walaupun enjin tidak dihidupkan.

“Wife parking kereta macam biasa selepas ambil anak dari sekolah dalam keadaan enjin dimatikan. Dalam setengah jam jiran beritahu wife, kereta di beranda rumah terbakar dan api dah mula marak.

“Wife call bagi tahu saya dan saya bergegas balik dari kerja dan bila sampai dapati api dah padam sepenuhnya oleh jiran dan bomba,” tulisnya di Facebook. Kisah kemudian itu dikongsi oleh group Facebook EOCM (Exora Owners Club Malaysia).

Menurutnya, Proton Exora Bold CFE itu terbakar secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda, sedangkan MPV tersebut tidak pernah dimodifikasi dan masih lagi dalam keadaan standard.

Bomba memaklumkan bahawa punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas daripada bateri. Kini, dia masih menunggu laporan penuh untuk membuat tuntutan insurans.

Netizen juga menceritakan pengalaman serupa yang berlaku kepada mereka di ruang komen hantaran tersebut. Seorang pemilik Exora, Aelek Sandar Samuri berkata pernah mengalami paip tangki petrol keretanya bocor.

Selain itu, perkongsian mengenai hos minyak belakang throttle body Exora keluaran tahun 2012 dan 2013 bergesel dan bocor juga menjadi sorotan.

Petrol yang menitis pada ekzos menjadi antara sebab utama kebakaran boleh berlaku. Justeru, para pemilik dinasihati untuk melakukan pemeriksaan pada komponen dan membalut hos minyak.

Proton pernah memanggil semula 94,577 unit kenderaannya berikutan masalah hos minyak penyejuk CFE. Proton mengakui kesilapan tersebut lalu menggantikan hos jenis AEM (Ethylene Acrylic) ke ACM (Polyacrylate) pada 59,663 unit Exora, selain Preve dan Suprima S.

Selain tidak mampu bertahan dengan suhu melebih 150 darjah celcius, hos itu juga berisiko pecah kerana bahan dalam hos telah rosak, sekali gus mengakibatkan pelincir menjadi asid. – Motoqar

Google ads
Back to top button