Buletin

PROTON TUBUHKAN PRO-NET. URUSKAN JUALAN DAN PENGEDARAN KENDERAAN SMART, NEV

Selepas menandatangani perjanjian pengedaran am (GDA) bersama smart pada 18 Ogos, PROTON kini menubuhkan pula sebuah syarikat baru untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri. 

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) merupakan anak syarikat milik penuh PROTON yang akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan berasingan. Manakala kakitangan operasi terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Ia diketuai oleh Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang sudah lama berkecimpung dalam industri automotif di China. Zhang Qiang juga bekerja di PROTON selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian. 

Ahli pasukan pengurusan lain termasuklah Salawati Mohd Yusoff selaku Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong sebagai Ketua Pegawai Informasi.

Pasukan pengurusan itu bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh  Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong yang disokong oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan, PROTON, Wang Huaibing dan Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran PROTON, Amran Mohd Tomin.

Jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku ke-4 2023. Model pertama yang akan ditawarkan  ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. Keutamaan syarikat adalah untuk menyelesaikan isu pengecasan. Rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan di rumah dan lokasi awam.

“Kajian kami menunjukkan bahawa kekangan pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu ialah mereka bimbang tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. Jadi, PRO-NET mahu menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah serta rangkaian awam yang komprehensif. 

“Ia bakal dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan. Sebagai anak syarikat PROTON, PRO-NET bertanggungjawab memastikan produk dan perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada,” kata kata Dr Li. 

Google ads
Back to top button