Buletin

ENJIN ROSAK, PESAWAT UNITED AIRLINES MENDARAT CEMAS

Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan United Airlines mendarat cemas selepas satu enjinnya rosak sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Colorado, Amerika Syarikat.

Penerbangan UA328 yang dijadualkan terbang ke Honolulu berpatah balik ke lapangan terbang itu selepas juruterbang pesawat itu melakukan panggilan kecemasan ke pusat kawalan trafik.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan 231 penumpang dan 10 kakitangan pesawat itu, menurut laporan Pengurusan Penerbangan Awam Amerika Syarikat (FAA).

Menerusi rakaman penumpang, enjin kanan pesawat itu terbakar dengan jelas dan mengeluarkan asap.

Menurut laporan Aviation Herald, pesawat berkenaan berada pada ketinggian 3962 meter sebelum memaklumkan ingin melakukan pendaratan kecemasan.

Pesawat Boeing 777-200 itu baru berlepas kira-kira 23 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver.

Dalam pada itu, terdapat netizen yang sempat merakam sebahagian komponen enjin terapung di awangan tercabut daripada pesawat terbabit.

Ia kemungkinan struktur komposit ringan atau gentian kaca dari enjin rosak tersebut. – agensi

Google ads
Back to top button