Buletin

KUMPULAN PERTAMA VAKSIN PFIZER-BIONTECH DIJADUAL TIBA DI KLIA PAGI INI

Selepas lepas berunding untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sejak tahun lalu, vaksin COVID-19 akhirnya dijangka tiba di Malaysia hari ini.

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi tadi.

Vaksin itu akan tiba di negara melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh  MABkargo Sdn Bhd (MASKargo). Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin berkenaan berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Vaksin sebanyak 312,390 dos itu diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Ketibaan vaksin itu pastinya membolehkan perancangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadual bermula 26 Feb ini berjalan mengikut jadual.

Antara yang dijangka hadir untuk menyambut ketibaan vaksin ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy, Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express. Ia merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021.

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX. Selain pembelian awal daripada 5 pengeluar vaksin COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd .pada 11 Januari lalu untuk pembelian vaksin ini, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020. – Astro Awani

Google ads
Back to top button