ENJIN SUBARU BOXER FA24D, SUSAH SANGAT KE NAK PASANG TURBO PADA BRZ?
Bila Toyota GT86 atau Subaru BRZ dilancarkan pada tahun 2012 dulu, perkara pertama yang peminat komen ialah kenapa kereta sport ini tiada turbo? Sedangkan cesi yang dibina oleh Toyota/Subaru ini sangat tegap dan mampu menerima lebih banyak kuasa kuda dan tork. Jadi apabila Subaru BRZ 2022 diperkenalkan secara rasmi beberapa hari lepas, generasi kedua menerima enjin 2400cc yang lebih besar.
Tapi enjin FA24D ini masih tidak dipasang dengan turbo. Secara asasnya enjin FA24D ini merupakan enjin yang sama dengan FA24F turbo yang dipasang pada Subaru Ascent yang menghasilkan 260 kuasa kuda dan 376Nm tork. Bayangkan jika enjin ini dipasang pada Subaru BRZ dengan berat sekitar 1276kg, mau berdesup perginya.
Subaru Boxer EJ, FB dan FA
Enjin Boxer EJ yang digunakan oleh Subaru satu ketika dulu telah digantikan dengan enjin yang lebih moden yang diberi kod FB pada tahun 2010. Namun bagi memastikan enjin boxer ini bertambah baik dari segi kuasa dan penjimatan petrol, Subaru memperkenalkan enjin kod FA yang merupakan derivatif daripada FB
Enjin FA ini dihasilkan daripada aloi aluminium bagi komponen blok dan kepala silinder bagi memastikan enjin ini ringan. Komponen blok, piston, rod penyambung dan kepala silinder adalah berbeza dengan enjin FB walaupun memiliki sesaran yang sama
Kali pertama enjin ini direka ialah untuk kegunaan BRZ/GT86 versi pertama. Ia direka supaya lebih ringan dan lebih rendah berbanding FB untuk menghasilkan polar momen yang rendah. Lebih rendah polar momen, lebih sedap pengendalian kereta. Bekas takungan minyak pelincir direka lebih pendek dan rongga kemasukan udara pun dibuat dengan lebih pendek
D4-S & AVCS
Disebabkan Toyota dan Subaru bekerjasama dalam menghasilkan enjin ini, Subaru mendapat teknologi suntikan bahan api berkembar (MPI+suntikan bahan api terus). Ketika enjin dihidupkan dan pemanduan santai, enjin ini akan menggunakan sistem MPI bagi membekalkan petrol. Ketika RPM mulai melonjak naik ia akan menggunakan suntikan bahan api terus untuk menjana lebih kuasa
Antara masalah enjin F20A ini ialah ia hanya menghasilkan 197 kuasa kuda pada 7000 RPM dan menghasilkan tork dalam sela RPM yang sempit iaitu 205Nm antara 6400-6600 RPM. Kalau anda pandai main klac, ok. Tapi kalau main gear auto macam penulis, agak sakit jugak la.
Bagi membaiki keadaan ini, sistem dual Active Valve Control System diperkenalkan pada enjin FA24D dimana sistem ini akan mengawal phasing camshaft (sama seperti dual VVT-i) bagi memberikan aliran kuasa yang baik dan penjimatan petrol maksima. Nisbah mampatan pula dinaikkan daripada 12.5:1 kepada 13.5:1 bagi menghasilkan kuasa yang lebih
Diameter silinder kekal pada 86mm, namun lejang dinaikkan sehingga 94mm bagi memberikan sesaran enjin pada 2387cc. Hasilnya enjin baru FA24D ini berjaya menghasilkan 228 kuasa kuda pada 7500 RPM dan tork maksima 250Nm pada 3700 RPM. Tak perlu nak perah enjin untuk dapatkan tork.
Jadi berbalik kepada soalan, kenapa tak pasang FA24F pada BRZ? Kenapa pasang FA24D saja. Subaru BRZ sebenarnya direka dengan cesi yang seimbang beratnya pada semua tayar. Katakanlah berat paling ringan BRZ ialah 1276kg dan Subaru mengatakan berat antara bahagian depan dan belakang kereta ini adalah seimbang. Senang kata, setiap tayar akan menampung 376kg berat kereta.
Bila turbo dipasang di bahagian enjin, berat enjin akan berubah dengan kehadiran sistem turbo, paip tambahan, sistem radioator, paip dan hos untuk penyejukan dan ini berat semua komponen ini akan mengganggu berat ideal pada kereta. Tambahan pula radiator penyejukan akan dipasang pada atas enjin yang akan menyebabkan enjin bertambah tinggi dan mengubah pusat graviti.
Ia merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima oleh jurutera Subaru kerana semasa pembangunan BRZ baru, ia mesti memiliki pengendalian yang lebih baik berbanding dengan model lama. Tambahan pula sifat enjin NA ialah kuasa dihantar secara linear berbanding dengan enjin turbo yang terdedah pada turbolag. Enjin NA beraksi lebih cemerlang ketika selekoh dan drift.