Buletin

MOTOSIKAL TERBAKAR NAK MOHON BANTUAN. EBIT LEW HADIAHKAN MOTOSIKAL BAHARU

Penceramah terkenal, Ebit Lew yang terkesan dengan kisah seorang lelaki Orang Asli selepas motosikalnya terbakar ketika dalam perjalanan memohon bantuan baitulmal menghadiahkan motosikal baharu kepada lelaki berkenaan.

Ebit melalui hantaran di laman Facebooknya berkata dia sebak membaca mengenai lelaki bersama dua anaknya yang ingin memohon bantuan tetapi motosikalnya terbakar.

“Sebak rasa baca pasal abang bersama dua anaknya perlu bantuan di Johor dan motor terbakar dalam perjalanan. Abang Polis Johor cuba bantu beliau masa tu.

“Hari ini saya belikan motor baharu hadiahkan kepada abang ini serta sedikit duit belanja.

“Terima kasih kepada Polis Johor bersama saya hari ini. Syukur ramai datang bantu,” katanya.

Pada Isnin lalu, motosikal ditunggang Amran Ronggi, 29 dan dua orang anaknya terbakar di Plaza Tol Senai ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan di Baitulmal.

Kebakaran itu kemudian berjaya dipadam oleh seorang anggota polis dari Balai Polis Senai, Koperal Mohd Redzuan Mohamed yang ketika itu bertugas di Sekatan Jalan Raya Plaza Tol Senai.

Kejadian itu dikongsi laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sebelum ia menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak untuk menghulurkan sumbangan.

Amran merupakan penduduk di Perkampungan Orang Asli Kuala Masai.

Selain itu, Ebit turut menghulurkan bantuan barangan dapur dari Elewsmart kepada 84 keluarga di perkampungan berkenaan. – FB Ebit Lew/Sinar Harian

Google ads
Back to top button