
ERLING HAALAND TAMBAH KOLEKSI KERETA MEWAH DENGAN ASTON MARTIN F1 DAN BUGATTI
Bintang sensasi Manchester City, Erling Haaland, terus menunjukkan cita rasanya terhadap kenderaan mewah dengan menambah beberapa model eksklusif ke dalam garajnya.
Dengan kontrak baharu bernilai sekitar RM1.55 bilion, yang ditandatangani pada awal 2025, penyerang berbisa Norway itu kini memiliki lebih banyak pilihan untuk meluaskan koleksi kenderaannya.
Haaland yang kini berusia 24 tahun telah mengikat perjanjian selama 10 tahun bersama City, memastikan kelibatnya di Etihad sehingga musim panas 2034. Dengan gaji mingguan mencecah RM3 juta, dia telah memperoleh sejumlah jentera berprestasi tinggi, termasuk edisi khas Aston Martin yang digunakan sebagai kereta perubatan dalam perlumbaan Formula 1.

Aston Martin Vantage ini kebiasaannya hadir dalam warna British Racing Green ketika beraksi di litar F1, tetapi Haaland berjaya mendapatkan versi khas berwarna lime green yang dianggarkan bernilai sekitar RM2 juta.
Dia dilihat memandu keluar dari Lapangan Terbang Manchester dengan jentera ini sejurus selepas kekalahan City kepada Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara.
Namun, bintang sebenar dalam koleksinya ialah Bugatti Tourbillon – model eksklusif dengan hanya 250 unit dihasilkan di seluruh dunia. Model ini dikuasakan oleh enjin hibrid V16 petrol dan elektrik yang mampu memecut hingga 204km/j dalam hanya lima saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 446km/j.

Menurut laporan, Haaland telah mengesahkan pembelian Bugatti bernilai RM19.3 juta ini dengan bantuan rakannya, bilionair Ole Ertvaag.
Namun, harga akhir kereta ini dijangka mencecah RM24 juta disebabkan cukai emisi ketat di Norway serta beberapa penyesuaian khas yang bakal dilakukan sebelum penghantaran pada April 2025.
Selain jentera berprestasi tinggi ini, Haaland juga memiliki Porsche 911 GT3 berwarna oren yang menarik perhatian ramai ketika dia meninggalkan sesi latihan City baru-baru ini. Model bernilai sekitar RM965,000 ini menjadi antara pembelian pertamanya selepas menandatangani kontrak baharu.

Koleksinya juga merangkumi Rolls-Royce Cullinan bernilai RM1.8 juta, yang terkenal dengan kemewahan dan prestasi luar biasa, serta Range Rover Sport – pilihan popular dalam kalangan pemain bola sepak di Eropah yang dianggarkan berharga RM725,000.
Tambahan pula, Haaland dilaporkan memiliki beberapa unit Audi RS6 Avant dalam warna berbeza, termasuk model merah ketika zaman di Borussia Dortmund dan versi Carbon Black selepas berpindah ke UK.
Dengan rekod jaringan luar biasa di Liga Perdana Inggeris serta perlumbaan untuk kasut emas yang semakin sengit bersama Mohamed Salah, Haaland bukan sahaja menjadi ancaman di atas padang tetapi juga membina status legenda di luar padang dengan koleksi kereta yang sukar ditandingi.
- BACA: JEREMY CLARKSON ‘ISYTIHAR KEMENANGAN’ KE ATAS ELON MUSK 17 TAHUN SELEPAS DISAMAN
- BACA: NETA AUTO TERIMA TALIAN HAYAT RM1 BILION DARI THAILAND DI TENGAH KRISIS KEWANGAN
- BACA: BYD SEALION 05 EV DIPERKENALKAN DI CHINA – TAWAR JARAK GERAK 520KM, HARGA SEKITAR RM78K
- BACA: PERODUA BEZZA, KERETA BURUK. TAPI 280 UNIT TERJUAL SETIAP HARI