
EV POWER, TAPI TAK SESUAI BAWA LAJU LAMA-LAMA?
Salah satu kelebihan yang ada pada kereta elektrik ialah, kecekapan mekanikal sistem boleh mencapai sehingga 90%. Angka ini sebenarnya jauh lebih baik berbanding dengan angka yang dihasilkan oleh enjin petrol dengan angka 37%-40% (namun boleh jatuh kepada 25% ketika dipandu).
Namun jika anda memandu kereta elektrik untuk jarak jauh pada halaju yang tinggi, anda akan dapati bahawa kos penggunaan elektrik jauh melebihi kos pengisian petrol. Katakanlah anda memerlukan RM 200 kos petrol untuk perjalanan jarak jauh, maka kos pengecasan akan menjadi lebih mahal sedikit untuk kereta elektrik
Jadi keadaan ini agak bertentangan dengan pendapat yang mengatakan kereta elektrik datang dengan kecekapan tinggi 90%. Kalau cekap, kenapa guna banyak tenaga elektrik? Salah satu faktor yang terlibat adalah apabila dipandu untuk jarak jauh, pemandu cenderung untuk memandu dengan lebih laju (melebihi 110km/jam).
Namun secara praktikal, memandu kereta elektrik pada halaju yang tinggi dalam sela masa yang lama adalah tidak digalakkan atas beberapa faktor.
1. Bateri dan motor panas – bila EV dipandu laju secara konsisten, motor elektrik dan inverter akan jadi panas. Malah bateri pun akan menjadi panas disebabkan arus yang keluar sangat tinggi. Apabila bateri dan semua komponen menjadi panas, terdapat rintangan dalaman komponen yang akan menjadikan penggunaan tenaga meningkat
Jika sistem penyejukan tidak dapat menyejukkan bateri dengan cepat, sistem BMS akan mengambil alih dan mengurangkan kuasa motor demi keselamatan. Situasi ini dipanggil sebagai thermal throttling
2. Motor elektrik beroperasi pada RPM tinggi – EV tidak menggunakan sistem kotak gear, sebaliknya menggunakan gear tunggal untuk memindahkan tenaga kinetik kepada roda. Pada halaju tinggi motor elektrik terpaksa berputar pada RPM tinggi (melebihi 10,000 RPM) menjadikan sistem cepat panas dan kurang efisyen
Atas sebab yang demikian ada kereta elektrik prestasi tinggi seperti Porsche Taycan diberikan sistem gear berkembar bagi mengurangkan RPM pada halaju tinggi. Motor elektrik sangat efisyen pada halaju rendah dan sederhana, namun akan menggunakan tenaga yang kuat pada RPM yang tinggi
Pada halaju tinggi, motor perlu berputar pada RPM yang lebih tinggi. Malah sistem inverter perlu bekerja dengan lebih keras. Bateri akan menggunakan arus yang tinggi, menjadi cepat panas maka sistem penyejukan (yang turut menggunakan kuasa bateri) akan turut berkerja dengan kuat.
3. Penggunaan tenaga tinggi – jika dipandu pada halaju malar 110km/jam, besar kemungkinan EV hanya akan menggunakan sekitar 16kWh bagi setiap 100km. Namun jika dipandu sehingga 160km/jam, angka ini akan naik sehingga 30-35kWh/100km.
Salah satu perkara yang lupa difikirkan oleh pemandu ialah kadar seretan angin akan meningkat secara eksponen, bukan linear. Daya geseran boleh dikira dengan menggunakan rumus:

Jadi jika dilihat, angka halaju adalah dinilai kuasa dua (eksponen). Maksudnya, bila halaju meningkat dari 110km/j kepada160 km/j, tenaga yang diperlukan bukan naik 1.5 kali ganda, tapi boleh naik antara 2.1 ke 2.4 kali ganda
4. Kos Pengecasan Pantas Mahal – disebabkan bateri sudah berkurang, pemandu tiada pilihan lain selain perlu mengecaj di sistem pengecasan pantas yang sebenarnya jauh lebih mahal berbanding dengan mengecaj di rumah (RM 0.57 per 1kWh) vs DCFC (RM 1.50 – RM 1.70 per 1kWH)
Sekiranya EV menggunakan 25kWh, maka pemandu perlu mengeluarkan belanja sehingga RM 37.50 bagi setiap 100km berbanding dengan kereta biasa 7.7 liter per 100 km (atau RM 15.77 bagi setiap 100km). Jadi ada 2 faktor utama yang menjadikan EV makin mahal semasa memandu jarak jauh
Kos pengecasan DCFC dan juga penggunaan tenaga yang tinggi jika dipandu degan laju. Isu ini sangat menarik kerana ramai pengguna baru beralih dari kereta enjin pembakaran dalam kepada EV tidak sedar benda ini boleh berlaku. Sedar tak sedar, kos perjalanan jarak jauh akan meningkat dengan mendadak
Jadi atas sebab ini, hampir semua EV yang dijual untuk kegunaan biasa (bukan model prestasi tinggi) dipasarkan dengan halaju yang telah dihadkan antara 150km/jam-170km/jam. Selain untuk membantu mencapai sasaran penggunaan tenaga yang cekap, cara ini akan membantu melindungi motor, bateri dan sistem brek daripada beroperasi dalam keadaan tertekan
Namun cara yang terbaik ialah pemandu mengekalkan halaju antara 110-120km/jam dimana pada halaju ini daya geseran adalah minima dan boleh diabaikan. Malah pada halaju ini anda akan selamat daripada menjadi sasaran kamera perangkap halaju dari pihak polis dan JPJ