" "
Modifikasi

EVO ACIK KOSMETIK– KERETA WAGON YANG SEDAP SEKALI

Baru dua isu lepas sebuah wagon dipilih sebagai paparan utama. Kali ni nampaknya wagon lagi. Kau dah kenapa Pak Maun, minat sangat ke?

Minatlah jugak, lagi-lagi untuk model berprestasi seperti ini. Cuma duit jelah tak ramai. Kalau ada BTC lebih-lebih, nanti baru citer…

Seperti yang pernah dibincangkan, pemilihan kereta berbentuk wagon bukanlah sesuatu yang popular di sini. Pilihan pun tak banyak. Kalau ada pun, biasanya kurang menarik atau terhad kepada model kelas atasan. Dalam kebanyakan kes, pemilik kereta akan terus melompat kepada MPV sekiranya mahu sebuah kereta lebih besar. Tu pasal Vellfire seken boleh jual macam pisang goreng panas.

Desas-desus tentang kereta ini telah sampai ke telinga saya sejak hujung tahun lalu. Dah siap katanya. Yang dimaksudkan model Lancer Evolution IX versi wagon milik Acik Kosmetik, yang payah benar nak jumpa kat mana-mana.

Kenapa panggil Acik Kosmetik? Ada kena mengena ngan Abang Kosmetik terlajak laris ke? Lebih kuranglah. Cuma Acik ni pemalu orangnya, rambut pun sikat tepi. Apa lagi nak tunjuk projek rumah juta-juta…

Peningkatan terbesar berlaku di bahagian luar, yang kini lebih sado hasil penggunaan kit badan versi Voltex. Alah yang Cyber Evo / Sun Automobile pakai tuh. Sejujurnya memang ini yang paling menarik, untuk dipadankan pada Evo casis CT.

Ia meliputi keseluruhan bumper depan dengan lip dan splitter gentian karbon, fender terlebih lebar, serta hood gentian karbon. Kemudian ada penutup lampu depan EGR, dua pasang canard, cermin sisi mickey RalliArt, termasuk skirt sisi dan fender belakang Voltex. Unit tailgate juga merupakan komponen gentian karbon sepenuhnya, diikuti tambahan diffuser dan spoiler gentian karbon juga dari Voltex.

Nampak berselera sungguh, walaupun dipandang sepi makcik bawang, group rumahtangga dan awek cendol…

Kereta ini tidak dilengkapi sistem pacuan Super AYC seperti model sedan. Pun begitu, tambahan berat 70kg yang dimiliknya masih memberi agihan berat yang sempurna ketika mengambil selekoh.

Untuk membentuk karektor lebih mantap, sistem gantungan kini dilengkapi set suspensi boleh laras Tein Monoflex. Manakala brek Brembo yang sudah sedia baik terus dikekalkan seadanya.

Memenuhi ruang roda adalah rim Volk Racing TE37 berukuran 18-inci, yang dibalut tayar extra lebar jenis Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 265/35R-18.

Evo IX Wagon dikuasakan oleh enjin lagenda 4G63T. Bagi model GT-A seperti ini, ia sebenarnya menggunakan enjin yang sama macam Evo VII GT-A. Kedekut betul, pedal klac pun tak bagi.

Memandangkan ia tidak dibeli untuk menakluk Sepang, tidak banyak yang Acik usik, kecuali penggunaan penapis udara HKS pada ram udara Kansai, unit intercooler HKS yang lebih besar, binaan paip intercooler kustom serta injap pelepas HKS SSQV. Membolehkan ia berpelepap di hujung minggu, unit ECU kini menggunakan perisian Link G4 Plug-In, untuk penghasilan kuasa yang optimum.

Kereta ini memiliki komponen dalaman yang sama dengan Evo IX. Jimat duit, tak perlu keluar modal untuk tukar itu dan ini. Acik cuma menggantikan meter utama dengan meter RalliArt, serta rangkaian gajet tambahan seperti pemasa enjin dan pengawal boost Blitz, deretan meter Defi, termasuk unit paparan Defi ZD.

Dimaklumkan hanya 2500 unit sahaja Evo IX Wagon pernah dihasilkan, khusus untuk pasaran Jepun. Dari jumlah tersebut, tak sampai 10 darinya pernah mendarat secara sah di sini. Andai betul bagai dikata, memang bertuah kau Acik…

Spesifikasi

Pemilik                        Saiful Azrul (Acik)

Pengeluar                    Mitsubishi

Model                          Lancer Evolution IX Wagon GT-A (CT9W)

Tahun                          2006   

Enjin asal                    4G63T

Modifikasi Enjin         Penapis udara HKS, ram udara Kansai, intercooler HKS, paip intercooler kustom, injap pelepas HKS SSQV, ECU Link G4 Plug-In

Transmisi                    Automatik

Ekzos                          Paip kustom 3-inci, muffler HKS

Luaran                         Kit badan Voltex – bumper depan, lip & splitter gentian karbon, fender, hood gentian karbon, canard, skirt sisi, fender belakang, diffuser & spoiler gentian karbon. Penutup lampu depan EGR, cermin sisi mickey RalliArt, tailgate gentian karbon

Suspensi                      Tein Monoflex

Brek                            Brembo

Rim & Tayar               Volk Racing TE37 18-inci & Yokohama Advan Neova AD08R 265/35ZR-18 Dalaman Meter utama RalliArt, pemasa enjin Blitz, pengawal boost Blitz,

Dalaman Meter utama RalliArt, pemasa enjin Blitz, pengawal boost Blitz, meter Defi, Defi ZD

Bengkel                       ABC Garage, Temerloh

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA.COM

GALERI

Google ads
Back to top button