Artikel Pilihan

EVOS SERBA BAHARU DIPERKENALKAN DI SHANGHAI – APRIL FOOL KE NI?

Tak ada apa yang salah dengan tajuk di atas. Memang sebuah model baharu bernama Evos dilancarkan di Shanghai Auto Show cuma sayangnya ia bukan Lancer Evo keluaran Mitsubishi yang sampai sekarang abang tak mampu beli. Evos ini merupakan keluaran Ford dan disasarkan khusus untuk pasaran China. Jangan nak konfius sangat pasal nama ni, banyak je kereta keluaran syarikat lain-lain tapi menggunakan nama yang agak sama. Contohnya sebelum ni ada Proton Exora Bold dan Mitsubishi Triton Bold. Macam tak ada nama lain kan?

Evos serba baharu ini dikatakan bakal menjadi pengganti kepada Ford Fusion yang sudah dihentikan pengeluarannya. Malah ia juga dikatakan bakal menjadi saingan kepada Subaru Outback kerana mereka berada dalam kategori yang sama. Ford bagaimanapun menyatakan yang Evos berada dalam kategori SUV-coupe.

Tapi serius cakap Ford Evos ni memang lawa. Bawak balik raya tampal logo Lamborghini terus orang kampung ingat ni Urus original. Itu belum pakai t-shirt dan topi ada logo lembu laga lagi.

Lampu-lampu utama LED dan pemegang pintu jenis pop-out memberikan imej premium kepada Evos ini. Malah warna dua tona dan bumbung berwarna hitam membuatkannya kelihatan lebih macho. Itu baru bahagian luaran.

Paling menarik di bahagian dalam kabin semestinya ialah unit paparan saiz mega yang mempunyai ukuran panjang 3.6 kaki. Penuh papan pemuka tu wei. Itu belum dicampur dengan paparan meter digital yang bersaiz 12.3 inci. Unit paparan ini mempunyai ciri sesentuh dengan resolusi 4K. Fuh, memang tak tidur la budak-budak naik kereta ni. Mak budak pun boleh layan TikTok sepanjang jalan.

System infotainment kereta ini menggunakan system Sync+ 2.0 dengan teknologi AI Baidu. Sama seperti Mustang Mach-E dan F-150 baharu, Evos juga mempunyai sokongan software update over-the-air. Tak cukup canggih lagi? Ia juga turut mempunyai sistem sokongan pemanduan Blue Cruise Level 2 yang baharu sahaja dilancarkan.

Sayangnya enjinnya masih belum didedahkan. Tapi dipercayai ianya mengunakan nadi hybrid plug-in dan bukannya menggunakan bateri sepenuhnya. Boleh nampak plug port berhampiran arca tayar depan dan ia juga mempunyai radiator pada bahagian hadapan enjin. Cuma satu lagi kemusykilan tentang platform Evos baharu ini. Adakah ia menggunakan platform model sedia ada ataupun platform serba baharu? Itu kena tunggu pelancaran rasmi nanti.

Google ads
Back to top button