Buletin

MITSUBISHI AIRTREK KINI SEBUAH EV UNTUK PASARAN CHINA. 610KM SEKALI CAJ, LANCAR TAHUN 2021

Mitsubishi dilihat mula memaksimumkan manfaat pakatannya bersama Renault dan Nissan. Terbaharu, pengeluar kenderaan dari Jepun itu bakal melancarkan dua model yang disumberkan daripada Renault untuk pasaran Eropah, manakala pengguna di China akan menerima sebuah crossover elektrik serba baharu. 

Dibina oleh syarikat kerjasama di antara Guangzhou Automobile Group (GAC) dan Mitsubishi Corporation, jentera itu akan menggunakan kembali nama Airtrek yang telah hilang buat seketika kerana digantikan dengan Outlander. 

Airtrek yang dijana oleh rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya itu di diperkenalkan pada acara Auto Shanghai 2021.  Sekali pandang, Airtrek jelas akan diposisikan di antara model Outlander dan Eclipse Cross. Tiada perincian lanjut diberikan, namun jentera tersebut dijangka dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

Menjadi crossover keempat Mitsubishi di China, Airtrek akan dikenali sebagai SUV e-cruising yang dibina berdasarkan kepada tiga elemen utama iaitu Electric, Expanding dan Expressive. Menurut Mitsubishi, SUV berkenaan menyerlahkan imej sofistikated dan menerapkan bahasa rekaan yang sudah menjadi signatur kepada model baharu Mitsubishi. 

Buktinya, rekaan agresif Dynamic Shield diteruskan pada Airtrek dengan lapisan lampu utama dan gril hadapan tertutup. SUV itu turut dilengkapi roof rails. Manakala bahagian belakang disempurnakan dengan rekaan lampu nipis berbentuk L dan spoiler. 

“Kami membangunkan Airtrek untuk membolehkan pelanggan menikmati pengembaraan tanpa batasan,” kata Pegawai Ekskutif dan Pemasaran Global Mitsubishi, John Signoriello. 

Besar kemungkinan Airtrek dibina di atas platform modular CMF-EV yang dipacu oleh pacuan roda hadapan atau semua roda e-4ORCE. Berkuasa 388hp, jentera itu dikatakan mampu bergerak sejauh 610km dengan sekali caj. 

Google ads
Back to top button