Buletin

RENTAS NEGERI ISNIN HINGGA KHAMIS SAHAJA

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengehadkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan dengan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lalu.

“Usaha-usaha untuk mengekang penularan Covid-19 diperketatkan oleh PDRM dengan pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian (hanya membabitkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik beradik sahaja), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.

“Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja, manakala pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan.

“Ini tidak termasuk bagi urusan-urusan membabitkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” katanya.

Acryl berkata, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan sebarang jenis majlis adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selesai perayaan Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” ujarnya. – HM

Google ads
Back to top button