,
Artikel PilihanMotosikal

PADAH TULIS “P*K*MAK” ATAS KERTAS SAMAN. KENA DENDA PULA RM8,000

Sia-sia. Itulah yang boleh dikatakan kepada nasib seorang anak muda yang terpaksa berhadapan hukuman lebih berat akibat kesilapan sendiri. Menurunkan “tandatangan” dengan perkataan lucah menyebabkan beliau dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000.

Nor Exzuan Nor Hashimy, 35, menghadapi dua pertuduhan bagi kesalahannya. Menulis perkataan lucah pada kertas saman serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tertuduh yang bekerja sebagai mekanik telah didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret Seremban. Beliau dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan V Vanita.

Kesalahan tersebut dilakukan di jalan Persiaran Senawang 1, pada 2.10 pagi, 28 April 2019. Beliau didakwa mengaibkan anggota polis Lans Koperal Mohd Firdaus Adnan dengan menulis perkataan lucah di bahagian tandatangan kertas saman.

Bagi kesalahan pertama itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada pertuduhan kedua, Nor Exzuan didakwa menghalang penjawat awam iaitu Lans Koperal Mohd Firdaus Adnan menjalankan tugas di lokasi yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 bagi pertuduhan pertama dan RM3,500 untuk pertuduhan kedua.

Mahal sungguh harga sebuah perkataan lucah kan?

KREDIT: SINAR HARIAN

Tags
Google ads
Back to top button