
FERRARI ROMA SPIDER RASMI DILANCARKAN – JANA 611HP, HARGA BERMULA RM3.2 JUTA
Selain Ferrari Purosangue, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd turut melancarkan Ferrari Roma Spider untuk pasaran Malaysia.
Roma Spider didatangkan dalam bentuk asas versi coupe tetapi dipadankan bersama bumbung fabrik soft top, diperbuat menggunakan bahan fabrik baharu selain, boleh dibuka dan ditutup dalam masa 13.5 saat ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Menurut Ferrari, bumbung berkenaan hanya menggunakan ruang setinggi 220mm di dalam but, dengan kapasiti but 255 liter apabila ditutup.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran 4,656mm (panjang), 1,974mm (lebar), 1,306mm (tinggi) dan jarak antara roda sepanjang 2,670mm.
Untuk rekod, Roma Spider adalah 85kg lebih berat berbanding Roma coupe.
Ciri menarik lain terdapat pada convertible Ferrari Roma Spider termasuklah dilengkapi nolder 5 mm yang diletakkan pada rel cermin hadapan.

Selain itu, terdapat juga pemesong angin automatik yang boleh diaktifkan ketika kereta sedang bergerak.
Tambahan, bagi melengkapkan ciri inovatif pada model ini adalah spoiler belakang, di mana tersedia dalam tiga posisi berbeza iaitu Low Drag (LD), Medium Downforce (MD) serta High Downforce (HD).
Menjengah ke dalam kabin, Roma Spider dimuatkan bersama kluster instrumen digital 16 inci, skrin infohibur 8.4 inci – ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto dan stereng SF90 Stradale dengan butang kawalan sensitif sentuhan yang lebih baik.
Secara mekanikal, Roma Spider dipacu oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8, menghamburkan kuasa 611hp @ 5,750 hingga 7,500rpm dan 760Nm @ 3,000 hingga 5,750rpm.
Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang memacu roda belakang.
Roma Spider mempunyai daya pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan 0-200 km/j dalam 9.7 saat manakala kelajuan maksimum adalah melebihi 320 km/j.
Untuk harga, Ferrari Roma Spider boleh dimiliki pada harga bermula dari RM3.2 juta termasuk duti dan cukai.
GALERI:

















- BACA: FERRARI PUROSANGUE TIBA DI MALAYSIA – JANA 715HP, HARGA BERMULA RM5 JUTA
- BACA: FERRARI F8 TRIBUTO MILIK YOUTUBER DIJILAT API – CARI PENYAKIT
- BACA: RANGKA FERRARI 500 MONDIAL SPIDER 1954 DILELONG PADA HARGA RM8.89 JUTA
- BACA: ALAHAI, TAKKAN TUNJUK FERRARI JE? KAT SINI SIAP SEWA KAPAL TERBANG DIK



