Buletin

FLYING SPUR HYBRID, BENTLEY TERPALING EKONOMIKAL, SETANGKI 805 KM!

Agenda elektrifikasi di benua Eropah sedang galak berjalan. Di antara faktor yang menyumbang ialah undang-undang kerajaan, penawaran dari pengeluar, infrastruktur dan kesedaran pengguna itu sendiri.

Buat pengguna yang tidak mahu melompat terus kepada kenderaan elektrik (EV), alternatif yang ada sejak sekian lama ialah kereta hibrid.

Tidak perlu cas seperti EV, menawarkan sensasi pemanduan enjin pembakaran dalaman dan menjimatkan.

Untuk pelanggan jenama mewah, Bentley baru-baru ini memaklumkan Flying Spur Hybrid sudah diuji dan diiktiraf yang meletakkannya sebagai model Bentley paling cekap dan ekonomikal.

Pemakluman itu dibuat susulan pensijilan WLTP (Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure) dan Type Approval yang dilakukan.

Dengan pensijilan tersebut, Flying Spur Hybrid kini boleh ditempah oleh pelanggan di United Kingdom dan Eropah dengan pasaran lain bakal menyusul.

Berapa jimat Flying Spur Hybrid?

Mengikut kitaran gabungan WLTP, purata pelepasan CO2 Flying Spur Hybrid ialah 75 g/km dan penggunaan minyak 3.3l/100 km!

Penjimatan model ini juga boleh dilihat apabila tangki penuh dengan kapasiti 80 liter boleh dipandu sejauh 805 km.

Tanpa bahan api, jarak pemanduan menggunakan tenaga elektrik adalah sehingga 41 km.

Flying Spur Hybrid digerakkan enjin 2.9 liter dan motor elektrik dengan kuasa 536 bhp dan tork 750 Nm.

Kuasa itu 95 bhp lebih tinggi berbanding sebuah lagi model iaitu Bentayga Hybrid.

Bukan sahaja jimat, prestasi Flying Spur Hybrid juga cemerlang dengan pecutan 0-100 km/j hanya perlu 4.1 saat.

E-motor kereta mewah ini dikuasakan bateri lithium-ion 18.0 kWH dan boleh dicas sehingga 100 peratus di bawah dua jam setengah.

Seperti biasa untuk sebuah Bentley, pelanggan ditawarkan dengan pelbagai pilihan peribadi.

Untuk balutan kulit ada lima pilihan warna standard dan sepuluh warna pilihan tambahan dengan lapan pilihan venir.

Sulaman dan logo juga boleh dipilih sama ada warna sekata atau kontra termasuk piping warna berbeza untuk balutan kerusi.

Untuk warna luar ada sejumlah 60 pilihan manakala versi blackline pula hadir dengan tema gelap berbanding krom.

Selepas ini Bentley akan menawarkan lebih banyak varian hibrid kepada pelanggan.

Barisan model Bentley terdiri daripada Continental GT, Continental GT Convertible, Flying Spur dan Bentayga.

Pada tahun 2025 Bentley akan memperkenalkan model elektrik bateri (BEV) yang pertama dan menjelang tahun 2030 kesemua model keluarannya akan menggunakan nadi elektrik.

Maknanya tiada lagi enjin sesaran besar yang sinonim dengan Bentley.

BACA: BENTLEY CONTINENTAL GT SPEED COUPE, MEWAH DAN PADU!

BACA: BENTLEY BENTAYGA SIAP EKZOS AKRAPOVIČ!

BACA: SELAMAT TINGGAL ENJIN BENTLEY L-SERIES V8, DARI 1959-2020!

Google ads
"
"
Back to top button