Buletin

ISU BEKALAN CIP JEJAS JUALAN PROTON PADA APRIL

Isu bekalan cip terus merencatkan perkembangan jualan automotif pada bulan April.

Ia terbukti apabila PROTON perlu berdepan bulan penuh mencabar pada April lalu berikutan isu bekalan cip sehingga mengehadkan bilangan unit jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata jualan untuk bulan April mencatat 8,839 unit (domestik + eksport) iaitu penurunan sebanyak 32.2% berbanding bulan Mac dan kurang 41.1% berbanding bulan yang sama pada tahun 2021.

Beliau menambah pegangan pasaran bagi bulan itu dianggarkan pada 15.6%, manakala pegangan pasaran tahun hingga kini (YTD) sebanyak 17%.

“Secara keseluruhan, syarikat menduduki tempat kedua dengan jualan terkumpul dan pegangan pasaran.

“SUV dan Exora terus menerajui segmen masin-masing apabila eksport terus meningkat Walaupun jualan dan pegangan pasaran mengalami penurunan secara keseluruhan, model Proton masih menerajui tiga segmen di pasaran,” katanya dalam kenyataan media.

Roslan memberitahu Proton X50, Proton X70 dan Proton Exora kekal berada di kedudukan teratas dalam segmen B-SUV, C-SUV dan C-MPV dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 1,554 unit, 1,530 unit serta 301 unit.

Bagaimanapun, beliau berkata model terlaris pada bulan April merupakan Proton Saga dengan 4,579 unit yang menyumbang kepada jumlah YTD sebanyak 14,028 unit dalam bulan terakhir jualannya sebelum pelancaran Proton Saga 2022.

“Secara keseluruhan, ia berada di tempat kedua dalam kelasnya dengan permintaan eksport yang kukuh dan dijangka mengekalkan model ini dalam barisan untuk seketika pada masa akan datang.

“Selepas dua tahun dengan jualan yang terjejas akibat pandemik, pasaran automotif Malaysia menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh pada 2022, ia terbukti dengan senarai menunggu yang panjang untuk penghantaran kereta baharu.

“PROTON dengan sedaya upaya memenuhi permintaan pasaran, tetapi kami juga mesti mengakui yang kami paling terjejas oleh isu bekalan cip,” ujarnya.

Beliau berkata pihaknya telah memperoleh bekalan cip untuk bulan Mei dan Jun dan mengunjurkan pemulihan yang pantas dalam beberapa bulan yang akan datang.

Roslan menambah situasi masih tidak menentu bagi sepanjang tahun ini dan industri kereta global berada di bawah tekanan tinggi akibat kenaikan kos, tetapi PROTON sedang mengusahakan penyelesaian terhadap isu-isu ini untuk memastikan pelanggan mendapat produk serta nilai terbaik di Malaysia dan di luar negara.

“Jualan eksport bagi bulan April pula berjumlah 456 unit, angka yang turut terjejas oleh isu bekalan alat ganti. Jualan eksport YTD kini berjumlah 1,573 unit, meningkat sebanyak 109.7% berbanding empat bulan pertama tahun 2021.

“Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar dengan 1,050 unit diikuti dengan Mesir dan Brunei sebanyak 172 dan 138 unit,” katanya.

Google ads
Back to top button