Buletin

FORD ESCORT DIPERBUAT DARIPADA EMAS, PERAK DAN BATU PERMATA INI BERNILAI RM417K!

Biasanya, harga kereta atau motosikal, harganya pastilah jauh lebih rendah berbanding kenderaan sama dalam saiz sebenar.

Tetapi, model skala Ford Escort ini sedikit berbeza kerana ia diperbuat daripada emas, perak dan batu permata.

Bersaiz 1:25, model tersebut dihasilkan oleh seorang tukang emas profesional yang juga peminat kereta, Russell Lord.

Harus tahu bahawa Lord membina Ford Escort itu sejak 25 tahun lalu dan menghabiskan beribu-ribu jam untuk menyiapkannya.

Memiliki 55 buah Ford Escort, Lord memberitahu badan kereta skala itu menampilkan brek, spoiler, rim dan bonet daripada emas.

Gril hadapan pula menggunakan emas putih, lampu utama daripada 72 butir permata, batu sapphire sebagai lampu isyarat membelok dan batu nilam untuk menjadi lampu brek belakang.

“Inilah hobi saya selama bertahun-tahun. Tiga tahun lalu, saya berazam untuk menyiapkannya. Saya tahu kereta ini secara mendalam. Jadi saya hasilkan komponennya satu persatu,” katanya yang berasal dari Essex, UK.

Dibina berasaskan kepada kereta rali yang dipandu oleh Ari Vatanen pada lewat tahun 1970-an, materiel Escort Mk2 itu sahaja menelan kos £78,000 (RM417,515).

Ia akan dilelong di laman web www.themarket.co.uk pada 2 Mei depan dengan semua keuntungan disumbangkan sepenuhnya kepada badan kebajikan.

Google ads
Back to top button