Buletin

INI SPESIS TERANCAM – FORD LOTUS CORTINA 1966, CUBA TEKA BERAPA HARGA?

Berpuluh tahun dahulu ada tiga buah kereta yang dibina oleh Lotus khusus untuk Kejuaraan Kereta Lumba British 1966. Kereta tersebut dikenali sebagai Ford Lotus Cortina dan dipandu oleh pelumba handalan dunia seperti Jim Clark, Graham Hill dan Jacky Ickx.

Jika nampak luaran kereta ini seperti biasa, memang benar sebab ia dibina untuk kategori Group 5 khusus untuk kereta penumpang yang dimodifikasi secara menyeluruh atau ekstrem.

Ford Lotus Cortina dengan nombor pendaftaran PHK 614D ini dibina pada Mac 1966 dan sejurus siap diserahkan kepada juara dunia Formula 1 Jim Clark untuk perlumbaan di litar Oulton Park.

Kereta ini kemudiannya beralih tangan kepada pelumba Formula 1 lain seperti Peter Arundell dan Jacky Ickx yang berjaya mencatat tempat kedua pada tahun sama di litar Snetterton, Goodwood dan Silverstone.

Pada Jun 1966 kereta ini dimasukkan ke ‘wad’ untuk kerja transplan kepada suntikan bahan api Lucas dan talaan oleh BRM. Setelah siap ia digunakan oleh Sir John Whitmore untuk perlumbaan sokongan Formula 1 di Brands Hatch dan akhirnya berjaya menduduki tempat pertama dalam kelas dan tempat keempat keseluruhan.

Bayangkan kereta dengan kuasa 180 bhp pada 7750 rpm ini bersaing dengan kereta lain seperti Mustang.

Kereta ini terus cemerlang dan memenangi beberapa lagi podium dibantu oleh pemandu Peter Arundell di Brands Hatch Guards International Meeting dan Oulton Park.

Ford Lotus Cortina ini walaupun hebat tetapi tidak lama digunakan. Kali terakhir digunakan ialah pada tahun 1967 di tangan dua kali juara Formula 1 Graham Hill untuk Perlumbaan Juara kepada Juara di Brands Hatch. Kereta ini berjaya memenangi tempat pertama dalam kelas dan kedua keseluruhan.

Selepas lapan kali menamatkan perlumbaan dengan jaya pada tahun 1967 dan 1968 kereta ini dibawa ke Afrika sebelum dibeli oleh Cedric Selzar yang merupakan mekanik kepada Jim Clark dan kemudiannya dihantar kembali ke UK.

Sejarah kereta ini belum tamat dan ia baru sahaja diumumkan untuk bidaan oleh Silverstone Auctions semasa Autosport International di NEC, Birmingham pada 12 Januari 2019.

Ford Lotus Cortina ini masih lagi mempunyai rekod pemilikan (V5), butiran terperinci perlumbaan pada tahun 1966, 1967 dan 1968 dan juga beberapa alat ganti.

Berapakah harga jangkaannya? Tidak mahal mana pun, dari GBP 180,000 (RM 971,755) hingga GBP 200,000 (RM 1,079,751) sahaja.

BACA: LOTUS C-01 – SUPERBIKE JELMAAN KERETA FORMULA 1

BACA: DI BAWAH SELIAAN GEELY, SUV LOTUS SEMAKIN HAMPIR JADI KENYATAAN

*1 GBP = RM 5.39

Tags
Google ads
Back to top button