Artikel Pilihan

SATU LAGI LAWATAN MAYA NISSAN ZAMA HERITAGE COLLECTION – JIMAT SIKIT DUIT TAMBANG

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida baru sahaja mengumumkan sekatan ke atas pelancong antarabangsa akan ditarik balik dalam masa lebih kurang tiga minggu lagi. Ya, ini bermakna Jepun akan membenarkan kemasukan pelancong asing menjelang 11 Oktober nanti.

Bagi yang berduit ini tentu masa yang sangat sesuai untuk melancong ke Jepun dan bagi yang kurang berduit macam kami ini, sesi lawatan maya ke Nissan Zama Heritage Collection ini sangat sesuai (buat ayat sedih sikit mana tahu dapat sponsor lepas ni).

Sebenarnya Zama ini masih ditutup ekoran pandemik Covid-19 tempohari dan belum pasti pun bila ia akan dibuka kembali. Jadi walaupun anda sudah boleh memasuki Jepun pada 11 Oktober nanti belum tentu anda dapat melawat koleksi-koleksi Nissan yang dipamerkan di situ.

Jadi nak buat macam mana? Tengok video ni dahlah. Sebenarnya sebaik virus corona mula menyerang dunia pada Mac 2020, Nissan sudah pun menyiarkan lawatan maya ke garaj pameran mereka ini. Bezanya kali ini (menurut Nissan), lebih banyak kereta-kereta unik dipaparkan dan tidak boleh didapati di tempat lain.

Permulaan ‘lawatan’ dimulakan dengan kereta-kereta lama Datsun menjelang Perang Dunia sekitar tahun 1930 an, sama seperti model-model yang didermakan kepada kolej-kolej kejuruteraan ternama Jepun.

Inilah peluang anda untuk mengenali sendiri sejarah Nissan dari awal sehingga kini. Jangan kenal Nissan sebab Almera dan GTR je kan? Tak faham bahasa Jepun pun tak ada masalah sebab ia disediakan dengan terjemahan sekali dalam bahasa Inggeris (takkan nak terjemah dalam loghat utagha kot).

Lawatan maya ini sebenarnya memakan masa selama 2 jam. Jadi pastikan anda mempunyai akses internet yang stabil (data mencukupi bagi yang menggunakan prabayar) dan jangan lupa sediakan seteko kopi o cap badak sumbu. Lagi best kalau ada sebalang keropok ikan cap penampar.

Kredit japanesenostalgiccars.com

Google ads
Back to top button