Buletin

FORD GT HERITAGE BERNILAI LEBIH RM3 JUTA JAHANAM. PEMANDU TAK PANDAI PANDU MANUAL

Pengeluar kenderaan Ford, hanya membangunkan 343 unit GT Heritage Edition pada tahun 2006.

Begitupun, angka terbabit berkurangan selepas salah satu unit jentera edisi khas berkenaan jahanam merempuh pokok.

Difahamkan, dalam kejadian di Florida Amerika Syarikat (AS) itu, ia berpunca apabila pemilik supercar tersebut ‘tidak pandai’ mengendali transmisi manual.

Supercar itu dibeli pada lelongan Barrett-Jackson Palm Beach yang berlansung pada bulan lalu dengan nilai bidaan mencecah AS$704,000 (RM3.06 juta).

Menurut laporan polis, pemandu berusia 50 tahun, Robert J. Guarini merempuh pokok terbabit berikutan tidak biasa mengendalikan jentera transmisi manual sehingga hilang kawalan apabila ingin menukar gear kedua.

Bagaimanapun, terdapat informasi bercanggah berhubung kemalangan berkenaan apabila Guarini mendakwa ia berlaku ketika menukar gear pertama ke gear kedua.

“Saya tidak mahu khalayak berfikir bahawa saya berlumba pada kelajuan 90 mph.

“Saya hanya memandu pada kelajuan 35 mph,” kata Guarini.

Dia menambah jentera berkenaan menggunakan tayar lama, baharu sahaja menjalani proses restorasi dan jalan berlumpur.

Biarpun, kerosakan agak teruk tetapi ia masih boleh diperbaiki tetapi pada kadar kos yang tinggi. – carscoops

Google ads
Back to top button