Artikel Pilihan

FORD VS FERRARI, APABILA URUSAN PERNIAGAAN DISELESAIKAN DI LITAR LUMBA

Semuanya bermula dengan urusan bisnes yang berat sebelah dan tidak adil dan ia meleret ke litar perlumbaan menjadi perseteruan yang paling epik dalam sejarah di antara Enzo Ferrari pemilik Ferrari Spa dengan Henry Ford ii, iaitu pemilik Ford Motor Corporation. Ia mengheret mereka untuk menyelesaikan permasalahan mereka ke litar perlumbaan paling getir ketika itu, Le Mans 24 Hour bagi membuktikan siapa lebih kuat, siapa lebih jantan dan siapa lebih laju di antara mereka.

Memenangi perlumbaan Le Mans bererti anda memenangi sukan olimpik bagi perlumbaan kereta. Untuk pengeluar kereta pada masa itu, ia membuktikan jika kereta mereka memenangi perlumbaan Le Mans ia bermakna kereta mereka cukup lasak dan bagus. Sifirnya mudah, kereta yang memenangi perlumbaan ialah kereta yang akan dibeli oleh pengguna pada ketika itu.

Sejarah

Tahun 1949 merupakan tahun pertama perlumbaan Le Mans diadakan semula selepas perang dunia berakhir. Ferrari menyertai perlumbaan tersebut buat kali pertama dan memenangi perlumbaan tersebut pada kedudukan pertama dan kedua dengan Ferrari 166 Barchetta. Luigi Chinatti merupakan rakyat Amerika dan berasal dari Itali menjadi pemandu pasukan Schuderia Ferrari dan merupakan usahawan yang menjual kereta Ferrari di Amerika. Walaupun Enzo kurang bersetuju untuk menjual kereta keluaran Ferrari, namun bagi ia penting bagi menyokong kewangan pasukan perlumbaan mereka.

Manakala di Detroit, terdapat satu perjanjian atau “gentleman agreement” antara Ford, Chrysler, dan General Motor agar mereka tidak lagi terlibat dalam sukan permotoran. Namun dalam diam-diam GM mengambil keputusan untuk membangunkan Chevrolet Corvette dan kereta ini digunakan oleh pihak ketiga bagi tujuan perlumbaan. Pasukan pemasaran dan jualan ketiga-tiga syarikat dapat mengesan trend pembelian kereta yang berlaku pada hari Isnin adalah bergantung pada model kereta yang memenangi perlumbaan pada hari Ahad. Ford tiada model prestasi tinggi untuk menandingi Corvette selain model Thunderbird dan Galaxy. Pada masa ini GM menguasai 60% jualan kereta untuk seluruh Amerika.

Henry Ford ii mendapati jentera berwarna merah milik Ferrari mendominasi litar perlumbaan Sebring dan ia lebih laju berbanding dengan Corvette. Pada Henry pasukan Schuderia Ferrari memiliki kereta, kepakaran dan juga pasukan yang berkelayakan untuk membantu Ford Motor Company membuat kereta sport mereka yang pertama. Ford pada masa itu memiliki keuntungan syarikat yang besar dan mereka tiada masalah untuk melabur membeli syarikat kecil seperti Ferrari.

Eksekutif Ford terbang ke Itali untuk urusan tawaran, rundingan dan cadangan dibuat agar satu entiti dibentuk atas nama Ford-Ferrari Motor yang akan bekerjasama dalam menghasilkan kereta untuk kegunaan awam serta aktiviti perlumbaan. Penilaian yang dibuat ketika itu menjuruskan pada Ford menawarkan USD 15 juta untuk mengambil alih keseluruhan entiti Ferrari.

Dan Gurney, Henry Ford iii dan AJ Foyt

Namun Enzo tidak bersetuju dengan satu terma jual beli yang menyatakan Ford mempunyai kuasa veto penuh di atas aktiviti perlumbaan seperti siri perlumbaan yang boleh disertai oleh Ferrari, lokasi perlumbaan, jenis kereta dan juga pemandu yang terlibat. Pada hari terakhir rundingan bersama pasukan Ford dan peguam Ferrari, Enzo keluar dari bilik rundingan dengan alasan untuk makan tengahari dan tidak lagi kembali ke meja rundingan.

Sudah tentu Henry berasa bengang dengan apa yang berlaku kerana dia mengharapkan Ferrari akan menerima tawaran tersebut dan membantu mereka menyiapkan sebuah kereta lumba. Henry berikrar yang mereka akan mengalahkan ego pasukan Ferrari di litar perlumbaan di mana saja perlumbaan tersebut diadakan termasuklah di Le Mans. Mencipta sebuah kereta sport baru menjadi cabaran besar buat Ford apatah lagi untuk mengalahkan musuh yang baru sahaja dicipta oleh mereka iaitu Ferrari.

Tanpa berlengah lagi Henry menubuhkan satu divisi baru yang dikenali Ford Advance Vehicle dan mencari seberapa ramai jurutera baru dan berpengalaman sebagai kakitangan. Melalui divisi inilah konsep asal Ford GT40 diilhamkan dan dilakar di atas kertas. Rekabentuknya yang melarus amat sedap dilihat malah Enzo sendiri terkejut apabila melihat hasil tangan Ford ini.

Ford GT40

Ferrari bertindakbalas dengan menghasilkan Ferrari dengan konfigurasi MR. Enjin berada di tengah cesi dan menggunakan pacuan belakang. Mauro Forghieri Ketua Pembangunan Perlumbaan mencadangkan pada Enzo agar mencuba idea ini walaupun seluruh kakitangan Ferrari menentang idea tersebut. Namun ujian masa yang dilakukan oleh pemandu ujian John Surteess membuktikan di tangan pemandu yang berpengalaman, kereta ini mampu dijinakkan dan amat pantas di selekoh.

Perlumbaan Le Mans 1964 dimulakan dengan Ford mempertaruhkan 3 buah GT40 untuk mencabar dan menamatkan penguasaan Ferrari di litar ini. Phil Hills yang menjadi pemandu Ford mengalami masalah dengan sistem petrol dan lewat memulakan perlumbaan. Namun 2 lagi GT40 amat laju pada permulaan perlumbaan sehinggakan helikopter unit kamera sukar untuk mengekori mereka pada jalan lurus. Namun setelah beberapa pusingan sebuah GT40 yang dipandu oleh Richard Atwood mengalami masalah dengan sistem bahan api dan mula terbakar.

11 jam kemudian sebuah lagi GT40 terpaksa bersara dari perlumbaan akibat masalah ketahanan komponen. Phil Hill terpaksa berhenti selepas 13jam berlumba akibat masalah yang sama. Ini membuktikan GT40 sebuah kereta yang laju namun tidak cukup lasak untuk dibedal selama 24jam. Ferrari menyapu bersih kedudukan no 1, 2 dan 3 sekaligus membuktikan bahawa mereka adalah jerung di litar Le Mans. Duit yang banyak tidak menjamin kejayaan tanpa pengetahuan teknikal dan pengalaman yang mencukupi. Henry Ford ii terpaksa meminta bantuan otai lama yang pernah mengalahkan Ferrari iaitu Caroll Shelby.

Ken Miles dan Caroll Shelby

Buku bertemu ruas

Caroll Shelby dan Enzo Ferrari merupakan musuh tradisi di litar lumba semenjak tahun 1950an malah Ferrari pernah menawarkan Shelby sejumlah wang untuk menjadi pelumba pasukan Ferrari. Namun Shelby adalah seorang yang setia dan meneruskan kariernya bersama pasukan Aston Martin Racing. Shelby memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1959 namun pada masa yang sama dia memiliki penyakit jantung disebabkan keturunan.

Shelby berhenti berlumba dan memulakan bisnes modifikasi kereta lumba bersama-sama 8 rakannya. Namun mereka tiada wang, enjin dan juga cesi. Namun pada satu hari Shelby sempat mengejar Lee Iococa di dalam lif di ibu pejabat Ford dan menjual idea untuk mewujudkan sebuah kereta lumba untuk Ford. Walaupun hanya 10 min, Lee meluluskan sejumlah wang dan beberapa enjin V8 pada Shelby sebagai permulaan.

Lee terbang ke England untuk memperolehi cesi dari AC Car Company secara percuma, memasang enjin V8 Ford di dalam cesi tersebut dan lahirlah sebuah Cobra dan Cobra Daytona. Malah ketika Ford GT4 gagal mengalahkan Ferarri, Cobra Daytona memenangi perlumbaan Le Mans untuk kategori GT Class.  Shelby pernah memenangi Le Mans sebagai pemandu dan juga sebagai pengeluar membuktikan dia adalah calon yang layak bagi mengalahkan Enzo Ferrari.

Sebaik sahaja GT40 sampai ke bengkel Shelby, perkara pertama yang dikesan oleh mereka ialah enjin kereta ini sering mengalami kepanasan melampau. Malah mereka mengubah geometri suspensi, menala semula enjin dan mengubahsuai sistem brek. Semua kerja kejuruteraan ini diawasi oleh jurutera berpengalaman Shelby iaitu Phil Remington.

GT40 talaan kumpulan Shelby memenangi perlumbaan Daytona 2000 dan Sebring 12 jam dan dipandu oleh pelumba berpengalaman Ken Miles. Kedua dua perlumbaan dimenangi oleh GT40 yang ditala oleh Shelby.

Le Mans 24 Hours 1965 membuka tirainya dengan Ford menghantar 6 unit Ford GT40 untuk menguasai litar tersebut dan mengalahkan Ferrari. Malah pada kali ini mereka menggunakan enjin yang lebih besar iaitu 7000cc. Bagi Ford, lebih besar lebih bagus. Pada permulaan perlumbaan di laluan lurus Mulsane, Ford GT40 jauh didepan sehingga Ferarri tidak kelihatan walaupun di dalam cermin pandang belakang.

Namun sekali lagi masalah ketahanan timbul bermula dengan masalah getaran, kegagalan sistem transmisi dan juga nut skru enjin yang patah ketika berlumba. Ferrari walaupun hanya menggunakan enjin 4000cc yang kecil mula mendekati dan memintas GT40 satu demi satu. Malah Ferrari juga lebih ringan membolehkan ia beraksi di selekoh dengan lebih pantas.

Menjelang tengah malam semua Ford GT40 terkandas di perlumbaan akibat kegagalan enjin dan transmisi. Semuanya disebabkan kebongokan pengurusan Ford yang memaksa Shelby menggunakan enjin 7000cc mereka berbanding enjin 6000cc talaan Shelby. Ferrari memenangi kelas protaip dan juga GT Class sekaligus memalukan Ford sekali lagi.

Le Mans 1966

Enggan mengakui kesalahan mereka (mungkin ego), Henry memberikan kata dua pada Shelby agar memenangi Le Mans pada tahun 1966. Dia juga mengupah Helman&Moody juga pasukan lumba yang menggunakan cesi dan enjin Ford dan juga Alan Mann Racing Ltd. Ford GT40 Mark ii 427 dibangunkan khas bersama dengan enjin 7000cc bermula dari awal lagi. Malah Ford membangunkan plaftorm robotik khas 6 bulan sebelum perlumbaan agar transmisi dan enjin diuji tanpa kehadiran pemandu selama 24 jam tanpa henti. Malah mereka menguji enjin dan transmisi ini selama 40jam tanpa henti untuk memastikan tiada lagi masalah ketahanan terjadi.

Disebabkan halaju, berat dan juga momentum di litar, pelapik brek dan juga cakera brek akan mengalami masalah kepanasan melampau sehingga 1200 darjah Celsius dan disejukkan kembali. Pengulangan proses panas dan sejuk ini akan menyebabkan cakera brek bengkok seterusnya menyebabkan brek judder dan juga potensi brek merosot. Pada masa tersebut, masih tiada bahan yang sesuai untuk digunakan dan salah satu cara yang boleh difikirkan oleh Phil Remminton ialah menukar sistem (cakera dan caliper) brek ketika perlumbaan.

Perlumbaan Le Mans 1966 dimulakan dengan Ford mempertaruhkan 8 unit FT40 Mark ii dan cabaran ini disahut oleh Ferrari dengan 7 unit dalam pelbagai kelas. Namun pasukan Ferrari juga ada masalah dalaman tersendiri, mereka menggantikan John Surtees yang berbakat dengan pemandu Itali yang lain. Ken Miles bertindak sebagai “rabbit” iaitu mencabar pemandu lain, memecut dengan pantas dan memastikan corak perlumbaan ditentukan olehnya dengan tujuan menjahanamkan komponen kereta lawan melalui ujian ketahanan. Ken melakukan tugas dengan bagus mendahului selama 20 pusingan dengan pantas dan menetapkan masa pusingan perlumbaan.

Selepas 6 jam perlumbaan, 2 unit Ford GT40 terkandas akibat masalah brek dan 2 unit Ferrari turut mengalami masalah teknikal. Selepas 11 jam sebuah lagi GT40 mengalami kegagalan gasket enjin dan perlumbaan ini memang brutal. Namun 6 GT40 meneruskan perlumbaan dan Pasukan Shelby yang dipandu oleh Bruce McLaren dan Chris Amon menduduki tempat pertama, Ken Miles dan Denny Hulme dari Shelby pada kedudukan kedua serta tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Homan& Moody dimana mereka semua menggunakan Ford GT40 Mark ii.

Semua peristiwa bersejarah ini telah diangkat menjadi filem yang bertajuk “Ford vs Ferrari” yang dibintangi oleh Matt Damon sebagai Carol Shelby dan Christian Bale sebagai Ken Miles. Filem ini dijangka akan ditayangkan di pawagam pada November 2019. Sementara filem ini ditayangkan, jom tonton trailer filem ini di bawah

Google ads
Back to top button