Buletin

HONDA PERKENAL SUV E:PROTOTYPE DAN BREEZE PHEV DI AUTO SHANGHAI 2021

Honda hari ini mengadakan premiere dunia Honda SUV e:prototype yang merupakan model prototaip kereta elektrik pertama Honda untuk pasaran China pada acara Auto Shanghai 2021 yang sedang berlangsung sekarang. 

Honda dilapor akan memperkenalkan 10 model EV di China dalam tempoh lima tahun. Produksi masa jentera yang diasaskan daripada SUV e:prototype itu dijangka mula dijual pada musim bunga 2022. Ruang pameran Honda di acara tersebut menampilkan rangkaian model elektrifikasi yang komprehensif. 

Ini termasuklah Breeze PHEV yang merupakan model plug-in-hybrid pertama Honda GAC. Bukan itu sahaja, Honda turut mempamerkan aplikasi Honda CONNECT generasi ketiga serta omnidirectional ADAS, sistem keselamatan dan bantuan pemandu generasi seterusnya. 

Aplikasi Honda CONNECT dengan teknologi kepintaran buatan (AI) itu membolehkan pelanggan mengendalikan kenderaan, barangan pintar di rumah, membuat pembelian secara dalam talian, kunci digital dan kemas kini perisian secara over-the-air (OTA). 

Aplikasi berkenaan akan dipasang pada model-model terkini Honda bermula separuh kedua 2021. 

Honda SUV e:prototype

Tidak banyak perincian yang dikongsikan oleh Honda mengenai model ini. Tetapi, Honda mendakwa jentera berkenaan menawarkan prestasi pecutan yang dinamik dan lancar. Tampil dengan reka bentuk futuristik, ia dilengkapi  aplikasi Honda CONNECT generasi ketiga. 

Honda CONNECT menawarkan ketersambungan dan OTA berdasarkan kepada antara muka pengecaman suara yang sofistikated. 

Breeze PHEV

Model plug-in hybrid terbaharu Honda yang menggabungkan keistimewaan teknologi EV dan hibrid. Dibangunkan atas sistem hibrid dua motor Honda iaitu SPORT HYBRID i-MMD, sistem PHEV itu memberikan pengalaman seperti memandu sebuah EV. 

Ia juga menghilangkan kebimbangan pemandu mengenai jarak terutama jika terpaksa menempuh perjalanan yang jauh. Breeze PHEV dijadual dijual di China pada separuh kedua tahun 2021.  

Google ads
Back to top button