
VIDEO TIKTOK TULAR, PEKERJA MENUNJUK-NUNJUK JUMLAH BAYARAN BULANAN EMPAT ANGKA
Tidak ramai di antara kita yang mampu untuk mengeluarkan sejumlah besar wang untuk bayaran bulanan kereta, dengan keadaan ekonomi dan gaji yang tidak menentu pada masa kini.
Namun, satu trend yang popular di laman media sosial TikTok ini memperlihatkan sekumpulan pekerja di pengedar Larry H. Miller Chrysler Jeep Dodge Ram di Surprise, Arizona dilihat menunjuk-nunjuk angka ansuran empat digit yang perlu dibayar setiap bulan.
Laporan Edmunds mendedahkan pada musim panas sebanyak 12.7 peratus atau lebih satu daripada lapan pengguna mendaftarkan pembiayaan kenderaan baharu pada Jun 2022 dengan kadar bayaran bulanan melebihi $1,000, peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Komitmen bulanan empat angka tersebut mungkin tidak menjadi satu masalah untuk mereka yang bergaji tinggi, namun ia adalah satu angka yang agak besar untuk kebanyakan kita yang berpendapatan cukup-cukup makan, termasuk mereka yang bekerja di pusat pengedaran kenderaan.
Video TikTok tersebut dilihat cuba untuk ‘menyedarkan’ penonton bahawa ia adalah satu perkara normal untuk pengguna berpendapatan biasa-biasa membayar sejumlah wang yang besar untuk memiliki kereta baharu.
Video tersebut menerima banyak komen yang negatif, di mana ada sesetengah penonton mempersoalkan kewajaran video tersebut dan bertanyakan adakah pekerja-pekerja tersebut telah dipaksa untuk membeli kereta-kereta tersebut bagi meningkatkan angka jualan pusat pengedar itu. – CarScoops