" "
Buletin

GARA-GARA BERTENGKAR, PELAKON PANDU KERETA SECARA ZIG ZAG HINGGA AWEK TERCAMPAK KELUAR

Sebuah rakaman telah tular di media sosial semalam apabila seorang pelakon disyaki memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kekasihnya tercampak dari kereta  di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) susur Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (Duke) di sini semalam.

Suspek dikatakan bertengkar dengan pasangannya sebelum memandu kereta Perodua Myvi miliknya secara zig zag dan kemudian merempuh bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian pemandu Perodua Myvi itu sendiri yang dikesan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan. 

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek sedang bertengkar sambil memandu laju sebelum berlaku perlanggaran dengan kenderaan lain sehingga mengakibatkan kekasihnya tercampak dan terjatuh atas jalan serta tercedera.” Kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Menerusi rakaman dari kamera papan kemuka sebuah kenderaan, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.30 petang.

Rakaman tersebut mendapat pelbagai reaksi dari pengguna Twitter yang kebanyakkannya terkejut dengan situasi itu. Di ruangan komen, segelintir pengguna Twitter mahukan lesen suspek digantung selain memberikan hukuman setimpal.

Selain itu, tidak kurang juga beberapa komen mengecam tindakan suspek yang membahayakan pengguna jalan raya.

Pemandu kedua-dua kenderaan Myvi dan Innova telah tampil membuat laporan polis mengenai insiden itu sebelum suspek (pemandu Myvi) yang juga merupakan seorang peniaga itu ditangkap polis untuk membantu siasatan.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok untuk proses permohonan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button