Pandu Uji

PANDU UJI: GEELY BOYUE – KENAPA SUV INI BEGITU MEYAKINKAN?

Umum maklum bahawa Proton akan memperkenalkan model SUV pertamanya kepada rakyat Malaysia pada suku keempat tahun ini.

Selepas menjalin kerjasama strategik dengan Geely, pengeluar kenderaan nasional itu dilihat cukup sibuk mempersiapkan diri untuk kembali menjadi kompetitif di pasaran tempatan.

Untuk kekal relevan dan menaikkan semula imej jenamanya, Proton perlu mempunyai produk yang bagus. Justeru, pemilihan Geely Boyue sebagai model pertama hasil kerjasama itu dilihat cukup tepat, memandangkan minat pengguna yang kini lebih terarah kepada SUV atau crossover.

Selepas melihat Boyue kali pertama pada majlis menandatangani perjanjian di antara DRB HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding (ZGH) pada Jun 2017, saya teringin betul memandu model terlaris Geely itu.

Syukur, peluang tersebut hadir minggu lalu apabila dijemput oleh Proton untuk memandu uji Boyue di kilang pemasangannya di Baoji, Xi’an China.

Sebelum kita pergi lebih jauh, harus diingatkan bahawa spesifikasi atau kemasan yang anda lihat pada gambar-gambar ini mungkin berbeza dengan Boyue yang akan kita terima nanti.

Biarpun begitu, ia sudah cukup untuk memberi gambaran awal tentang rekaan luaran, kualiti kemasan dalaman, teknologi serta ciri yang ada pada sebuah Boyue. 

Diadakan di perkarangan kilang dengan tempoh dan jarak pemanduan yang terhad, sesi pandu uji Boyue berlangsung lancar dan memuaskan.

Reka bentuk yang matang

Kami diberi Boyue versi tahun 2018 yang telah ditambah baik dari segi luaran dan dalamannya. Sekali pandang, SUV segmen C yang akan bersaing secara langsung dengan model-model seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Nissan X-Trail itu sememangnya mempunyai rekaan yang menarik.

SUV itu kini dipasang dengan gril ‘cosmos’ yang menjadi wajah signatur kenderaan baharu keluaran Geely. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu LED, manakala lampu kabus diposisikan sedikit ke bawah.

Ciri sporty bahagian belakang Boyue diserlahkan dengan ekzos berkembar, lampu belakang dan lampu brek ketiga yang nipis. Dari arah sisi, anda pasti tertarik dengan rekaan cermin tingkap belakang yang lebih kecil seperti Range RoVer Evoque.

Walaupun dari pandangan kasar ruang belakang nampak sempit, tetapi sebenarnya ia cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja duduk dengan selesa. 

Kuasa enjin turbo TGDi 1.8 liter

Di pasaran China, Geely menawarkan Boyue dalam beberapa pilihan enjin iaitu enjin aspirasi biasa (N/A) bersesaran 2.0 liter dengan kuasa 139hp dan tork 178Nm. Manakala enjin turbo bersesaran 1.8 liter pula didatangkan dengan dua pilihan kuasa iaitu 161hp bertransmisi manual atau 181hp (automatik).

Kita akan menerima enjin turbo TGDi 1.8 liter yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Angka tepat kuasa yang mampu dihasilkannya masih belum dapat dipastikan.

Namun begitu, sepanjang sesi pendu uji ini berlangsung, saya boleh katakan bahawa tujahan kuasa enjin itu cukup untuk menggerakkan Boyue tanpa rasa malas atau berat.

Penukaran gearnya juga agak pantas dan lancar. Cuma yang menjadi persoalan utama ialah, berapakah tahap penggunaan bahan apinya? Saya membuat seikit pembacaan dan angkanya berbeza-beza. Ada yang kata 8.2l/100, ada juga yang kata 7.8l//100km.

Relaks, tak payah gaduh-gaduh. Kita tunggu sahaja angka rasmi daripada Proton nanti.

Kualiti pengendalian

Bagi membuktikan keupayaan pengendalian Boyue, kakitangan Geely yang ada bersama kami melakukan demonstrasi pemanduan slalom.

Walaupun tiada satu pun susunan kon, penukaran arah ke kiri dan ke kanan pada kelajuan sederhana cukup untuk menunjukkan kadar olengan SUV ini masih dalam tahap yang boleh diterima.

Kalau tak nak ada body roll langsung memang tak logik lah. Ini bukannya kereta sports, ini ialah sebuah SUV yang titik graviti dan rekaan badannya lebih tinggi.

Biarpun begitu, tahap olengan tubuhnya masih boleh dimaafkan, tiada siapa yang muntah selepas itu.

Cuma saya rasakan stereng Boyue sedikit ringan. Kalau dipandu pada kelajuan tinggi dengan rasa ringan begini, keyakinan mungkin sedikit goyah.

Tetapi, jangan bimbang. Kita semua tahu kepakaran Proton dalam bab ini. Jadi tunggu sahaja talaan Proton yang pastinya lebih mantap.

Ruang kabin

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kemasan dalaman Boyue, sama ada dari segi pemilihan material atau susun aturnya boleh membuatkan jenama yang lebih mahal rasa malu.

Kalau tutup semua lencana Geely yang ada, mungkin ramai tak percaya ini ialah Boyue. Aspek itu dapat dengan jelas sehinggalah pada hendal pintu yang mempunyai rekaan tidak konvensional.

Tempat duduknya dibalut kulit lembut berwarna coklat terang. Papan pemukanya diberi susun atur yang kemas dan ringkas. Kontras warna hitam dan perak itu berjaya membuatkannya kelihatan lebih premium.

Bahagian tengah dihuni oleh paparan skrin sentuh sistem infotainmen yang intuitif. Skrin bersaiz lapan inci itu membolehkan anda menukar stesen radio, menjadi paparan kamera undur dan banyak lagi.

Bersebelahan tuil gear, terdapat empat butang yang menawarkan fungsi pantas seperti mode pemanduan Eco, Sport, sistem kawalan menuruni bukit dan pengaktifan sensor parkir.

Satu lagi ciri yang mesti saya nyatakan ialah meter digital bersama animasi berbeza mengikut mode pemanduan yang dipilih.

Kelihatan seperti meter yang boleh didapati di dalam Volvo moden, ciri ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan penguna mahu memasukan Boyue dalam senarai pembelian.

Kalau semua ciri itu tidak meyakinkan anda, bagaimana dengan ciri pemantauan tekanan tayar, kawalan jauh telefon pintar, penapis udara pintar dan ketersambungan internet 4G. Peh, dah macam kereta mewah ni..

Berdasarkan kepada pandu uji ringkas dan peluang melihat Boyue dengan begitu dekat, Proton sememangnya mempunyai produk yang meyakinkan. Apa yang tinggal ialah senarai spesifikasi, jaminan dari segi perkhidmatan selepas jualan dan semestinya harga.

Haih.. makin tak sabar pula nak tunggu Proton lancar SUV ini secara rasmi.

GALERI

Google ads
Back to top button